Kuala Lumpur

Sebuah sajak nukilan Manan Qayyim

Hari esok Untuk Islam

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi.....

Ketika Siti Hajar Mencari Air Untuk Anaknya

... Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada peraturan suaminya.

Tips berBlog untuk Para Blogger

Perkembangan blog pada hari ini semakin bertambah banyak hari demi hari, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Proses membuat satu blog bergitu mudah berbanding website.....

Jangan Promosi Dosa di Facebook dan Blog

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak...

Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

21 December 2011

Allah Ketika Solat, Adalah Allah Yang Sama Ketika Ingin Bermaksiat.

Bukan mudah untuk merasai Allah sentiasa mengawasi kita 24/7 dalam kehidupan kita. Rasa Allah sentiasa Mengawasi.Dalam bahasa Arabnya, disebut muraqabatullah.

Tahu Allah Maha Memerhati dan Maha Mengawasi.
Tahu Allah itu sentiasa ada, tidak pernah mati.

Tetapi, kadang-kadang tindakan kita selalunya tidak menampakkan seolah-olah kita merasai Allah Maha Mengawasi.

Mudah merasai pengawasan Allah bila berada di tengah ramai, tetapi bila seorang diri, Allah baginya seolah-olah tidak wujud lagi.

Mudah merasai pengawasan Allah ketika berada dalam terdesak dan kesusahan, tetapi ketika senang dan lapang, Allah pun ditinggalkan.

Adakah Allah hanya wujud ketika kita bersama dengan kawan-kawan yang soleh sahaja?

Atau adakah Allah hanya wujud ketika solat, ketika kita benar-benar terdesak?

Adakah Allah tidak wujud pada waktu-waktu lain?

AMBILLAH IBRAH DARIPADA KISAH 3 ORANG BANI ISRAIL YANG DIUJI ALLAH

Kisah yang telah kita biasa dengari. 3 orang daripada Bani Israil telah diuji Allah dengan penyakit-penyakit yang menyebabkan masyarakat telah menyisihkan mereka.

Mereka adalah yang biasa kita dengari dengan Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.

Saya tidak akan ceritakan keseluruhan kisah itu di sini. Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi. Kisah ini diceritakan oleh Rasul s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Mereka ini semuanya telah didatangi oleh malaikat untuk mendoakan kesembuhan bagi diri mereka. Bahkan, mereka telah ditawarkan dengan binatang ternakan yang mereka inginkan.

Kesemua mereka mendapat apa yang mereka inginkan. Setelah sembuh dan binatang ternakan masing-masing berkembang biak, Allah telah menguji mereka sekali lagi. Allah datangkan malaikat sekali lagi dalam keadaan menyerupai manusia yang miskin dan susah untuk menguji mereka.

Setelah berada dalam keadaan yang senang dan sihat, ternyata mereka telah lupakan Allah. Si Sopak dan Si Botak telah gagal dalam ujian itu. Ketika susah, mereka berharap penuh kepada Allah. Setelah Allah anugerahkan kesenangan dan kesihatan kepada mereka, mereka melupakan Allah.

Si Buta, tetap dalam keadaan celiknya itu , dalam keadaan beliau yang telah kaya raya itu, masih tetap terus mengingati Allah dengan membenarkan malaikat yang datang mengujinya untuk mengambil sebanyak manapun daripada binatang ternakan yang dimilikinya. Dia tahu yang menilai dirinya semasa dia buta dan semasa dia celik adalah Tuhan yang sama, iaitu Allah.

YANG MERASA LONGGAR DENGAN PENGAWASAN ALLAH, INGATLAH YANG ALLAH SENTIASA CEMBURU

Ramai yang tahu Allah Maha Memerhati. Tetapi berapa ramaikah yang benar-benar merasai dan menjiwai pengawasan Allah itu 24/7?

Kadang-kadang, bila berada dalam suasana yang soleh, suasana yang wujudnya peringatan, jiwa kita seolah-olah terasa begitu dekat dengan Allah. Tetapi, bila pulang ke rumah, tidak ada suasana-suasana yang mengingatkan, kita pun merasa longgar daripada ikatan dengan Allah.

Dalam solat, mampu mewujudkan perasaan Allah Maha Mengawasi. Tetapi, bila keluar daripada solat, perasaan itu seolah-olah tidak pernah wujud.

Di celah-celah kelonggaran ikatan kita dengan Allah itulah, syaitan sentiasa mengambil peluang untuk menjauhkan lagi kita daripada Allah. Maka, kita kembali bermaksiat kepada Allah ketika seorang diri. Kita kembali melazimi diri dengan dosa setelah keluar daripada solat.

Mampu menjaga Allah ketika dalam solat, tetapi gagal menjaga Allah pergaulan dan percakapan.

Mampu merasa Allah ada ketika dalam suasana soleh, tetapi gagal merasa Allah ada ketika menonton movie, ketika melayari internet.

Ingatlah yang Allah itu sentiasa cemburu dengan hamba-Nya. Kehidupan yang Dia anugerahkan, tetapi kita habiskan majoritinya untuk dosa dan maksiat. Kita jauhkan kehidupan kita daripada pengawasan Allah.

Allah pun merasa cemburu terhadap kita. Bagaimana?

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang mafhumnya : ‘Sesungguhnya Allah Taala itu cemburu dan kecemburuan Allah Taala itu ialah apabila seseorang manusia mengerjakan apa-apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya.’
[Muttafaq Alaih]

ALLAH ITU SENTIASA ADA KETIKA KAU INGIN BERMAKSIAT

Ketika ingin bermaksiat, ingatlah balasan yang akan menimpa dirimu di akhirat nanti. Api neraka dengan kepanasannya yang menggelegak sentiasa menunggu hidangannya. Buah zaqqum dan cairan tembaga yang nantinya akan menghancurkan isi perutmu.

Ketika ingin bermaksiat, segeralah detikkan pada hati yang Allah sedang Memerhati. Jika masih ada rasa untuk bermaksiat, maka kita memang telah bersedia untuk menanggung seksa kubur, dibelit ular, disengat kala dan disebat malaikat sehingga terbenam ke dalam bumi.

Dengan segalanya yang telah Allah berikan untuk kita layakkah kita membalas Allah dengan dosa-dosa kita yang mengenepikan Allah di waktu-waktu senang kita?

Lalu fikirkan pula, setelah kita sentiasa melupakan Allah, maka ketika saat terdesak, ketika tidak ada siapa yang mampu menolong melainkan hanya Allah, maka apakah layak bagi kita untuk memohon pertolongan dari-Nya ketika itu?

Ingatlah yang Allah sentiasa ada, tidak pernah mati. Allah yang kita sembah ketika solat, adalah Allah yang sama melihat kita ketika ingin bermaksiat.

Allah sentiasa kekal tidak pernah fana.

Kalau menunggu terdesak, baru hendak merasa Allah ada, baru hendak kembali kepada Allah, bimbang kita akan jadi orang yang tidak mempunyai kesempatan untuk kembali seperti Firaun.
Sementara kesempatan masih ada, maka segeralah perbaiki.

PENUTUP : YANG BERJUANG MENJAGANYA, AKAN MENDAPAT CINTA ALLAH. ADAKAH YANG LEBIH BESAR DARIPADA ITU?

Yang terus berjuang menjaga muraqabatullah, Allah akan anugerahkan hadiah untuknya.
Dalam segenap kehidupannya, dia sentiasa merasa diperhatikan Allah.

Rasa Allah sedang menilai amal-amalnya. Bila dia merasai Allah sentiasa menilai dirinya, maka dirinya sentiasa tergerak untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupannya.

Satu ketika, Nabi s.a.w. bersabda kepada Ibn Abbas :
“Hai anakku, sesungguhnya saya hendak mengajarkan kepadamu beberapa kalimat iaitu : Peliharalah perinta Allah nescaya Dia akan memeliharamu (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah, nescaya engkau akan dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau hendak memohon maka mohonlah pertolongan dari Allah.”

Yang berjuang menjaga Allah dalam senang dan susahnya, dalam ramai dan seorangnya, Allah juga akan menjaganya setiap masa dan di mana jua dia berada.

Lihatlah, yang berjuang menjaga muraqabatullah pastinya akan mendapat cinta Allah.

Maka, ketika Allah ingin menganugerahkan cinta-Nya kepada kita, adakah yang lebih besar daripada itu?

Pasti. Pastinya tidak ada. Jadi, apa lagi yang ditunggu?

Segeralah rebut nilaian Allah !

About the Author 
Afdholul Rahman bin Che Ani. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.
Artikel ini dari Langit Ilahi

19 December 2011

ASALKAN HATINYA BAIK?

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam.

“Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, “ tegasnya.

“Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat,” tambahnya lagi.

Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.

“Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?” tanya saya lembut.

“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”

“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”

“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.

“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”

“Itu sahaja?”

“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”

“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”

“Mengapa?”

“Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia suatu yang objektif dan mutlak, ” akui saya terus-terang.

“Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!”

Saya cuba senyum lantas berkata,” akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.”

“Jadi akal kita untuk apa?” desaknya lagi.

“Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan.”
“Ertinya akal kita terikat?”

“Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing ini… tetapi tetap pada paksinya.”

“Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?”

“Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman.”

“Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?”

“Separuh betul,” jawab saya.

”Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut… ya dia ‘baik’ di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia ‘tidak baik’ di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran.”

Anak muda di hadapan saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.

“Tetapi dia jujur, amanah…”

“Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah.”

Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk,  “namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga.”

“Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?”

“Masih merujuk kepada Al Hadis.”

“Hadis yang mana?”

“Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah.”

 “Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?”

“Secara tidak langsung  itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita solehah.”

“Maksud ustaz?”

“Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat.”

“Oh, begitu. Kenapa ya?”

“Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik,  lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik.”

“Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?”

“Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal… dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha.”

“Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?”

“Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah…”

“Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat…”

“Jika hatinya benar-benar jahat… lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula.”

“Mengapa?”

“Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah.”

“Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat… lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja.”

“Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat… akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat… secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot.”

“Siapa wanita yang paling baik?” tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung muka saya. Serius dan tajam renungannya.

“Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w.” jawab saya pasti.

“Bagaimana pakaian mereka?”

“Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. ”

Kali ini dia pula terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, “kalaulah hati yang baik sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat.”

“Wanita yang baik mesti menutup aurat?”

“Ya.”

“”Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?”

“Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat.”

“Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?”

“Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik.”

“Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit.”

“Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak… itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat … Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!”

“Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?” Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.

“Wallahua’lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka… yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!”

Dia senyum. Alhamdulillah.

“Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang…”

“Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?”

Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya… insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!

_____Penulis______
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.

14 December 2011

Anjaklah Diri Kamu Setinggi Al-Fateh !

Al-Fateh, adalah nama yang tidak asing lagi bagi kita. Sejarah pembukaan Kota Konstantinopel yang sangat hebat di tangan mereka yang Rasulullah s.a.w. sebutkan sebagai sebaik-baik panglima dan sebaik-baik tentera itu sentiasa segar dalam ingatan kita.

Nama Al-Fateh itu biasanya merujuk kepada seorang Sultan Muhammad, tetapi hakikatnya al-Fateh itu bukanlah seorang, tetapi ia adalah sekumpulan manusia. Merekalah yang terlibat dalam usaha melahirkan seorang Sultan Muhammad Al-Fateh, iaitu ayahnya dan guru-gurunya, yang terlibat dalam usaha membebaskan Konstantinopel iaitu tentera-tenteranya sehinggalah kepada Sultan Muhammad itu sendiri.

Merekalah Al-Fateh. Sekumpulan manusia yang kuat jiwa dan kuat juga usaha. Mereka adalah yang sentiasa menjaga kualiti iman mereka.

Lihatlah bagaimana Allah menundukkan dunia kepada mereka. Konstantinopel yang telah berkali-kali kebal daripada cubaan-cubaan serangan sebelum zaman mereka, akhirnya lumpuh di tangan mereka.

Sultan Muhammad Al-Fateh, berapakah umurnya ketika itu?

Semasa mula memegang takhta menggantikan ayahnya, beliau berumur 19 tahun. Hanya 2 tahun selepas itu, Konstantinopel telah berjaya ditawan di tangan mereka.

2 tahun, adalah suatu masa yang singkat. Tetapi, 2 tahun itu diguna dengan penuh manfaat. Tidak pernah jemu dan kenal erti penat kerana mereka adalah yang memiliki visi akhirat.


YANG MEMILIKI VISI AKHIRAT ADALAH YANG MENCARI SEBAB UNTUK MENJADI KUAT

Mendengar kisah begini, nanti ada yang akan berkata:
“Alah, bolehlah. Mereka tu kan Rasulullah dah janjikan macam tu.”
“Sultan Muhammad tu anak khalifah. Senanglah nak tawan Konstantinopel sebab dia dah jadi sultan. Kita ni, dahlah takde apa-apa. Kedudukan pun tak ada, harta pun cukup-cukup je.  Jangan mimpilah.”

Yang beralasan begitu, tidakkah mereka memerhatikan kesungguhan Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya dalam mengejar janji Rasul s.a.w. itu?

Dan tidakkah kalian melihat juga bahawa kalau Sultan Muhammad itu cuma berjuang seorang, tanpa tenteranya di sisi, pastinya tidak akan mampu membuah apa-apa. Tentera-tenteranya juga adalah Al-Fateh, yang menjadi sendi utama pembukaan Kota Konstantinopel.

Mereka bukan sahaja bersungguh-sungguh dalam melaksanakan strategi, tetapi mereka sangat teliti dalam menjaga hubungan hati mereka dengan Allah. Mereka mencari sebab untuk menjadi kuat.
Dan, hubungan dengan Allah itu yang menjadikan mereka benar-benar kuat.

Hari ini, berapa ramaikah pemimpin yang benar-benar menjaga hubungan mereka dengan Allah?

Tidak ramai. Hakikatnya, bukan senang bagi seseorang yang sudah memiliki kedudukan yang tinggi, harta yang banyak untuk menundukkan hatinya dengan sebenar-benar ketundukan kepada Allah.

Tetapi, mereka mampu kerana mereka adalah yang benar-benar menggerakkan keimanan. Lantas itu, Allah menganugerahkan kota itu sebagai tanda kemenangan. Bukan kemenangan zahir semata-mata, tetapi kemenangan iman.


MEREKA ADALAH YANG MEGGERAKKAN KEIMANAN

Mereka adalah yang sentiasa menjaga iman mereka. Turun naik sentiasa diperhatikan. Kalau turun, cepat-cepat mereka berusaha untuk memulihkan. Bila naik, dipastikannya berterusan.

Takhta dan kedudukan, bukan itu dahulu yang menjadi rebutan. Apalagi harta kekayaan, memang tidak pernah mereka harapkan.

Yang menjadi igauan mereka adalah menembus syurga idaman.

Pada solat Jumaat yang pertama kali ingin didirikan di Kota Konstantinopel itu, Sultan Muhammad Al-Fateh bangun untuk memilih imam bagi solat tersebut. Yang dinilainya bukan siapa yang paling tinggi kedudukan dalam tenteranya. Bukan jeneral, bukan mejar, bukan leftenan yang dipilihnya.

Bukan juga yang dipilihnya yang paling kaya di kalangan tenteranya. Bukan juga yang paling sedap bacaannya dipilihnya untuk mengimami solat itu.

Tetapi, penilaiannya adalah pada solat. Soalan pertama yang ditanya pada tenteranya adalah solat fardhu. Bila ditanya, ternyata tidak ada yang pernah meninggalkannya sejak baligh.

Soalan kedua berkaitan solat sunat rawatib. Duduk sebahagian tenteranya menandakan mereka pernah meninggalkannya.

Hinggalah kepada soalan ketiga iaitu solat sunat tahajjud. Maka duduk habislah kesemua tenteranya kecuali beliau. Maka, ternyata beliau adalah yang tidak pernah meninggalkan ketiga-tiganya sejak baligh hinggalah saat itu.

Memang benarlah hadis Rasul s.a.w. bahawa beliau adalah sebaik-baik panglima. Beliau tidak pernah meninggalkan bekalan-bekalan kekuatannya meskipun sibuk dengan tugasan sebagai seorang khalifah. Bahkan, tentera-tenteranya juga sangat menjaga ibadah mereka.

Itulah yang membentuk kekuatan jiwa mereka. Lantas itu, mereka tidak pernah ada rasa mengalah walaupun telah berhari-hari menyerang Kota Konstantinopel sehingga seolah-olah tidak nampak ada tanda-tanda untuk menang pun.

Himmah mereka yang jauh lebih tinggi menyebabkan rasa mengalah itu telah kalah untuk mengikuti jiwa-jiwa mereka.


MEREKA TIDAK TINGGALKAN SEKADAR MERANCANG

Mereka menjadi hebat kerana mereka membumikan segala perancangan dalam kehidupan. Mereka tidak tinggalkan hanya sekadar merancang.

Ada orang bila merancang, begitu gah dan hebat sekali. Tetapi, bila tiba masa merealisasikan, perancangan hanya tinggal sekadar perancangan.

Ada orang merancang, tetapi perancangannya tidak mampu dicapai kerana tidak realistik.

Tetapi lihatlah pada generasi Al-Fateh. Perancangan itu telah bermula sejak berabad lamanya sehinggalah ke zaman Sultan Muhammad II. Perancangan itu bermula daripada ayahnya lagi. Lihatlah bagaimana ayahnya, Sultan Murad II sangat menekankan pendidikan yang syumul (menyeluruh) kepada beliau.

Tidak hanya diberi kemahiran-kemahiran dunia, tetapi diajar juga seni-seni akhirat sana.

Kesannya, Sultan Muhammad membesar dengan cita-cita yang besar. Beliau telah menjadi orang yang merealisasikan sabda Rasul s.a.w.

Beliau membesar dalam keadaan menjaga hak dunia dan akhiratnya. Bahkan, tentera-tenteranya juga adalah yang menjaga dunia dan akhirat mereka.

Beliau dengan pelbagai perancangan dan strategi telah berjaya menembusi Kota Konstantinopel. Usaha-usaha mereka itu luar biasa sekali. Mana mungkin orang pernah terfikir untuk mengangkat kapal merentasi bukit hanya dalam satu malam semata-mata untuk menempuh selat yang tekah dihalang dengan rantai besi itu. Tetapi, itulah kedahsyatan iman Sultan Muhammad dan tentera-tenteranya.


PENUTUP : ANJAKLAH DIRI SETINGGI MEREKA


Kalau Sultan Muhammad yang kecilnya dahulu adalah anak yang degil, tetapi mampu membesar menjadi seorang pemimpin yang hebat, kita kenapa tidak?

Cuma yang tinggal pada sekarang kita hanyalah usaha.

Usaha membaiki diri.

Usaha menambah kemahiran-kemahiran pada diri.

Usaha untuk disiplin dalam menjaga kualiti ibadah.

Usaha untuk memelihara hubungan dengan Allah.

Kita tahu, tetapi belum menterjemahkan semua yang kita TAHU itu kepada MAHU.

Yang mahukan syurga adalah yang benar-benar berusaha. Bagaimana berusaha, maka lihatlah pada generasi Al-Fateh itu.

Bukan disuruh mengangkat kapal merentasi bukit. Tidak. Bukan itu yang perlu kita lakukan.

Bukan juga disuruh pergi menawan satu lagi kota. Tidak. Bukan itu juga.

Tetapi, berusahalah sehingga tahap kesungguhan yang begitu. Barulah mampu untuk kita menjadi seperti mereka.

Anjaklah diri menjadi setinggi mereka, barulah layak bermimpikan syurga!

Sumber: Langitilahi.com

03 October 2011

SKOR A dalam peperiksaan Hidup dan Semoga Berjaya Adik2 yang menghadapi PMR | Motivasi

Hidup kita ada peperiksaan. Peperiksaan ni bukan kertas subjektif atau objektif – ia datang dalam bentuk dugaan, kesusahan, permasalahan dan kepayahan.

Untuk apa kita diberikan peperiksaan hidup?

Andai kata gagal, cemana?

Leh repeat ke? YA.

Repeat sampai lulus!

Apabila Anda teliti kehidupan Anda dari dulu sampai sekarang, dugaan-dugaan hidup dimunculkan untuk membuat Anda berubah.

Tak ada dugaan, kita tak akan terfikir untuk berubah.

Tak ada kesusahan, kita tak akan ada gesaan untuk berusaha.

Tak ada kepayahan, selamanyalah kita kekal dalam kemalasan.

Peperiksaan hidup muncul dalam pelbagai bentuk – dugaan emosi, dugaan fizikal atau dugaan kewangan.

Usah ditanya kenapa kita diuji tapi tanyalah diri kita sendiri cemana kita nak mengharungi peperiksaan hidup ni dengan jayanya. Tanyalah diri kita sendiri cemana kita leh SKOR A dalam peperiksaan hidup.

Orang yang cemerlang, dia akan sentiasa bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi peperiksaan hidup. Orang yang tak mahu cemerlang, dia akan mengeluh sebab diberikan peperiksaan hidup.

Kita mengeluh sekali, kesannya kita akan terbiasa mengeluh banyak kali.

Peperiksaan hidup berjalan sepanjang masa, jadi Anda kena bersedia menghadapinya.

Tak ada peperiksaan, kita takkan tahu bila masa yang sesuai untuk kita berubah. Kita takkan tahu betapa pentingnya kita kena berubah.

Sekadar sedutan dari laman www.imotivasi.net 
Renung2 kan 

credit to : www.kujie2.com
Kepada adik2 ku yang mengambil PMR bermula esok selamat maju jaya. Terutamanya dari SMKA Pekan Gurun. Ingan pesan abang dulu. 

Dan kepada kawan2 yang ada EXAM esok. last paper... Good Luck .... All the best... Kita jumpa lagi semesta depan... insya-Allah....

23 September 2011

Nasihat Imam Syafie Mencari Sahabat | Sahabat


Mengasingkan Diri Lebih Baik
.TEMAN ketawa memang mudah dicari, tetapi teman menangis tiada siapa yang sudi.
Memang benar sukar mencari erti persahabatan sejati. Hanya mereka yang benar-benar bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen.

Dalam hal ini, Imam al-Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.
Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.

Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percayadiri.

Mencari sahabat pada waktu susah.
Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.

Jika suka melanda, aku sering bertanya: "Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?"

Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun apabila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.

Pasang surut persahabatan.
Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.

Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.

Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.

Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat.
Apabila tidak ketemu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

20 July 2011

Soul to Soul : Communications from the Heart

"This is one of those books that make you feel the author had you specifically in mind when he wrote it, because he speaks directly to the very issues you struggling with in your life. It is simple, clear, wise, and profound. A must-read for everyone dedicated to the growth of soul in their lives," - Ellen Burstyn, Acedemy Award-winning actress and author of Lessons in Becoming Myself
Tengah hari tadi aku berkesempatan singgah di Perpustakaan Negara. Nak tengok lah buka apa yang best untuk dibaca (walau pada hakikatnya aku tak minat sangat nak membaca).

Jadi, aku Belek-belek lah buku kat rak tu. Dan aku tertarik dengan buku Motivasi "Soul to Soul " ni. Minat sangat nak baca buku motivasi ni. Tapi bila aku tengok jenis buku ni tergolong dalam judul buku Kristian. Aku bertanya kembali kat diri aku " nak baca ke tak?"

Aku mulakan siasatan keatas buku ni. Aku baca dari belakang kulit, ke muka depan, dan akhirnya ke Isi kandungan. 

Secara kesimpulan, pandangan awal aku terhadap buku ni (sebelum aku habis baca) lebih menjurus kepada untuk memotivasikan diri pembaca.

Sekian, nantikan perkongsian seterusnya setelah aku habis baca buku ni.

03 February 2011

Motivasi: Kita dulu pernah Gemilang

Kemajuan dunia pada hari ini kita sering merujuk kepada Barat yang menjadi kayu ukur kepada pembangunan ekonomi politik mahupun sosial masyarakat. Malah kita sering terikut-ikut budaya mereka yang kebanyakannya berbeza dengan budaya ketimuran kita. Sehinggakan kita lupa, dahulunya kita pernah menjulang nama, kita disanjung tinggi oleh dunia. Bahasa kita dijadikan bahasa utama. Tapi kini, kita malu berbicara mengunakan bahasa kita. Kita gagal menjulang nama dengan acuan budaya sendiri berbanding Jepun yang maju tanpa lupa pada budaya mereka (walaupun mereka ada sejarah lampau).
Ayuh bangsaku, ayuh saudaraku seislam, ayuh bangkit kembalikan kegemilangan kita dahulu......

Saksikanlah Video Pidato Saudara Badrul Sani dibawah sebagai pemangkin semangat...

Pidato Kegemilangan Melaka - Saudara Badrul Sani (YouTube)

Pidato Kegemilangan Melaka ini telah disampaikan di Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka (KEMM) yang bertempat di Universiti Teknikal Melaka pada 29 Januari 2011.

KEMM telah dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat"

21 January 2011

Motivasi: Disebalik suatu Pemberian

Mengikut kajian orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain merupakan orang yang berjaya dalam hidup. Namun begitu, sedikit sahaja yang mementingkan "bagaimana untuk memberikan sesuatu?" kerana ramai bertanya "bagaimana untuk mendapatkan sesuatu?" (Pahrol, 2010). Inilah yang dikatakan lumrah kehidupan. Kita lebih gembira apabila ada orang lain memberikan kita hadiah, berbanding kita yang memberi. 

Erti hidup pada memberi ini sungguh luas. Jangan sempitkan fikiran kita untuk memberi manfaat kepada orang lain. Bermacam-macam aspek boleh kita hadiahkan kepada mereka. Tidak kira daripada segi meterial, harta, ilmu, mahupun sekadar senyuman. Hatta, memberi pertolongan ketika mereka yang dalam kesusahan juga memberi makna yang besar.

Percayalah memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum!

Sebenarnya kehidupan pada memberi itu lebih manis jika kita hayati dan renungkan kembali. mana tidaknya, cuba anda banyangkan jika anda memberi sedekah kepada fakir miskin, kemudian dia berdoa akan kebahagian kita dan dimurahkan rezeki. Walau pada zahirnya kita tidak nampak nikmatnya, kalau Allah memakbulkan doa mereka tidakkah ini memberi keuntung pada anda. Ini dari sudut memberi sedekah, bagaimana pula dengan mereka yang berkongsi ilmu? Pernah atau tidak terdetik pada hati anda risau untuk berkongsi ilmu dengan rakan yang lain kerana takut mereka menjadi lebih pandai daripada anda. Beringatlah, ilmu itu milik Allah. Apa yang kita tahu hanyalah sedikit sahaja bagai  buih dilautan.  Berilah apa sahaja ilmu bermanafaat yang kita miliki, makin banyak kita berkongsi ilmu dengan orang lain, makin bertambah ilmu kita. Ameen.....

Pendek kata jadi orang yang suka memberi, sabda Rasulullah S.A.W. bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan di atas merujuk pada si pemberi, dan Tangan di bawah merujuk kepada si penerima.