12 March 2012

Syair Bahasaku oleh Abdul Talib Hamid

BAHASAKU

Sedih hati tidak terperi
Bahasaku terus dibincang saban hari
Dibuang oleh bangsa sendiri
Dipandang hina dianggap duri

Dendam mereka terus membara
Bahasa Melayu dihapus segera
Bahasa asing diangkat gembira
Pemangkin ekonomi itulah diwara-wara

Orang luar minat memerhati
Bahasa Melayu dikaji teliti
Indahnya bahasa memikat hati
Mudah dipelajari bahasa jati

Pertandingan pidato mereka serta
Wahana bahasa Melayu mereka berkata
Fasih sungguh terkesima kita
Kesungguhan mereka jelas di mata

Tetapi pelik kita di sini
Bahasa rancu diguna kini
Alasan mudah asal difahami
Kesilapan bahasa tidak didalami

Terus berusaha pejuang bahasa
Bahasa Melayu ke arah mahawangsa
Dituturkan manusia peringkat antarabangsa
Baharulah puas menabur jasa

Selagi hayat berselimut badan
Semangat dan kemampuan harus sepadan
Perjuangan memartabatkan bahasa bukanlah edan
Tetapi kerja mulia tanpa sempadan

Jikalau kita yang berkesedaran
Biarkan bahasa sendiri bertaburan
Dihinjak disepak sifat yang baran
Gembira petualang itulah disaran

Peneraju negara ada peranan
Jadikan bahasa rakyat berkenan
Kaedah pelbagai jadikan saranan
Rakyat setia meneruskan perjalanan

Mujahid bahasa letih tiada
Semangat jihad kejap di dada
Bahasa dimartabat itulah agenda
Selagi dihina perjuangan berganda

Suara kita harus sekata
Bersatu dipimpin para pendeta
DBP mengaum semua celik mata
Pimpinan mantap kata dikota

Marilah kita gemblengkan tenaga
Memantapkan bahasa seisi keluarga
Ke dalam masyarakat diuar-uar juga
Agar mereka turut bersiaga

Jikalau bangsa ingin disanjung
Bahasa sendiri harus dijunjung
Bahasa asing simpan di anjung
Agar bangsa kekal hingga penghujung

Insan kerdil sekadar berbicara
Bahasa sendiri diangkat dikira
Agar didengari pimpinan berpengaruh suara
Pertahan bahasa dihindari dera

Bahasa bersantun dibibir pemimpin
Rakyat di bawah rasa terpimpin
Seni bahasa selembut zapin
Bukan sekadar dijadikan lampin

Andainya hilang bahasaku ini
Punah bangsa diisi guni
Ke samudera dihunjam dengan berani
Tinggal gemulah bahasa berseni

Benteng ampuh kitalah galang
Jiwa kebal sukar dihalang
Petualang datang akan dipalang
Bahasa keramat kan tetap gemilang
Hasil fikir,
Abdul Talib Hamid
Telok Panglima Garang
11 Mac 2012
Ahad, 10.59 malam
_____________________________________________ 

Baru baru ini telah berlangsung Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2012. Orang luar hebat berbahasa Melayu. Kita bagaimana?

Berikut keputusannya.


Peserta peringkat akhir kategori Nusantara
  1. Fathiah Ibrahim dari Malaysia (juara)
  2. Dk. Mumtazah Pg Haji Md Jaafar dari Brunei Darussalam (naib juara)
  3. Wahyudi dari Indonesi (tempat ketiga)

Peserta peringkat akhir kategori Antarabangsa
  1. Sebghatullah Qazizada dari Afghanistan (juara)
  2. Polina Matveycheva dari Rusia (naib juara) 
  3. Elena Vorobyeva dari Latvia (tempat ketiga)
  4. Marina Makarova dari Moldova
  5. Yota Tamura dari Jepun
Jom kita lihat orang Afghanistan berpidato...