Bukan mudah untuk merasai Allah sentiasa
mengawasi kita 24/7 dalam kehidupan kita. Rasa Allah sentiasa Mengawasi.Dalam
bahasa Arabnya, disebut muraqabatullah.
Tahu Allah Maha Memerhati dan
Maha Mengawasi.
Tahu Allah itu sentiasa ada, tidak pernah mati.
Tahu Allah itu sentiasa ada, tidak pernah mati.
Tetapi, kadang-kadang
tindakan kita selalunya tidak menampakkan seolah-olah kita merasai Allah Maha
Mengawasi.
Mudah merasai pengawasan
Allah bila berada di tengah ramai, tetapi bila seorang diri, Allah baginya
seolah-olah tidak wujud lagi.
Mudah merasai pengawasan
Allah ketika berada dalam terdesak dan kesusahan, tetapi ketika senang dan
lapang, Allah pun ditinggalkan.
Adakah Allah hanya wujud
ketika kita bersama dengan kawan-kawan yang soleh sahaja?
Atau adakah Allah hanya wujud
ketika solat, ketika kita benar-benar terdesak?
Adakah Allah tidak wujud pada
waktu-waktu lain?
AMBILLAH IBRAH DARIPADA
KISAH 3 ORANG BANI ISRAIL YANG DIUJI ALLAH
Kisah yang telah kita biasa
dengari. 3 orang daripada Bani Israil telah diuji Allah dengan
penyakit-penyakit yang menyebabkan masyarakat telah menyisihkan mereka.
Mereka adalah yang biasa kita
dengari dengan Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.
Saya tidak akan ceritakan
keseluruhan kisah itu di sini. Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab Riyadhus
Solihin karangan Imam Nawawi. Kisah ini diceritakan oleh Rasul s.a.w. dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
Mereka ini semuanya telah
didatangi oleh malaikat untuk mendoakan kesembuhan bagi diri mereka. Bahkan,
mereka telah ditawarkan dengan binatang ternakan yang mereka inginkan.
Kesemua mereka mendapat apa
yang mereka inginkan. Setelah sembuh dan binatang ternakan masing-masing
berkembang biak, Allah telah menguji mereka sekali lagi. Allah datangkan
malaikat sekali lagi dalam keadaan menyerupai manusia yang miskin dan susah
untuk menguji mereka.
Setelah berada dalam keadaan
yang senang dan sihat, ternyata mereka telah lupakan Allah. Si Sopak dan Si
Botak telah gagal dalam ujian itu. Ketika susah, mereka berharap penuh kepada
Allah. Setelah Allah anugerahkan kesenangan dan kesihatan kepada mereka, mereka
melupakan Allah.
Si Buta, tetap dalam keadaan
celiknya itu , dalam keadaan beliau yang telah kaya raya itu, masih tetap terus
mengingati Allah dengan membenarkan malaikat yang datang mengujinya untuk
mengambil sebanyak manapun daripada binatang ternakan yang dimilikinya. Dia
tahu yang menilai dirinya semasa dia buta dan semasa dia celik adalah Tuhan
yang sama, iaitu Allah.
YANG MERASA LONGGAR
DENGAN PENGAWASAN ALLAH, INGATLAH YANG ALLAH SENTIASA CEMBURU
Ramai yang tahu Allah Maha
Memerhati. Tetapi berapa ramaikah yang benar-benar merasai dan menjiwai
pengawasan Allah itu 24/7?
Kadang-kadang, bila berada
dalam suasana yang soleh, suasana yang wujudnya peringatan, jiwa kita
seolah-olah terasa begitu dekat dengan Allah. Tetapi, bila pulang ke rumah,
tidak ada suasana-suasana yang mengingatkan, kita pun merasa longgar daripada
ikatan dengan Allah.
Dalam solat, mampu mewujudkan
perasaan Allah Maha Mengawasi. Tetapi, bila keluar daripada solat, perasaan itu
seolah-olah tidak pernah wujud.
Di celah-celah kelonggaran
ikatan kita dengan Allah itulah, syaitan sentiasa mengambil peluang untuk
menjauhkan lagi kita daripada Allah. Maka, kita kembali bermaksiat kepada Allah
ketika seorang diri. Kita kembali melazimi diri dengan dosa setelah keluar
daripada solat.
Mampu menjaga Allah ketika
dalam solat, tetapi gagal menjaga Allah pergaulan dan percakapan.
Mampu merasa Allah ada ketika dalam suasana soleh, tetapi gagal merasa Allah ada ketika menonton movie, ketika melayari internet.
Ingatlah yang Allah itu
sentiasa cemburu dengan hamba-Nya. Kehidupan yang Dia anugerahkan, tetapi kita
habiskan majoritinya untuk dosa dan maksiat. Kita jauhkan kehidupan kita
daripada pengawasan Allah.
Allah pun merasa cemburu
terhadap kita. Bagaimana?
Dalam satu hadis Nabi
s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang mafhumnya : ‘Sesungguhnya Allah
Taala itu cemburu dan kecemburuan Allah Taala itu ialah apabila seseorang manusia
mengerjakan apa-apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya.’
[Muttafaq Alaih]
ALLAH ITU SENTIASA ADA
KETIKA KAU INGIN BERMAKSIAT
Ketika ingin bermaksiat,
ingatlah balasan yang akan menimpa dirimu di akhirat nanti. Api neraka dengan
kepanasannya yang menggelegak sentiasa menunggu hidangannya. Buah zaqqum dan
cairan tembaga yang nantinya akan menghancurkan isi perutmu.
Ketika ingin bermaksiat,
segeralah detikkan pada hati yang Allah sedang Memerhati. Jika masih ada rasa
untuk bermaksiat, maka kita memang telah bersedia untuk menanggung seksa kubur,
dibelit ular, disengat kala dan disebat malaikat sehingga terbenam ke dalam
bumi.
Dengan segalanya yang telah
Allah berikan untuk kita layakkah kita membalas Allah dengan dosa-dosa kita
yang mengenepikan Allah di waktu-waktu senang kita?
Lalu fikirkan pula, setelah
kita sentiasa melupakan Allah, maka ketika saat terdesak, ketika tidak ada
siapa yang mampu menolong melainkan hanya Allah, maka apakah layak bagi kita
untuk memohon pertolongan dari-Nya ketika itu?
Ingatlah yang Allah sentiasa
ada, tidak pernah mati. Allah yang kita sembah ketika solat, adalah Allah yang
sama melihat kita ketika ingin bermaksiat.
Allah sentiasa kekal tidak
pernah fana.
Kalau menunggu terdesak, baru
hendak merasa Allah ada, baru hendak kembali kepada Allah, bimbang kita akan
jadi orang yang tidak mempunyai kesempatan untuk kembali seperti Firaun.
Sementara kesempatan masih
ada, maka segeralah perbaiki.
PENUTUP : YANG BERJUANG
MENJAGANYA, AKAN MENDAPAT CINTA ALLAH. ADAKAH YANG LEBIH BESAR DARIPADA ITU?
Yang terus berjuang menjaga
muraqabatullah, Allah akan anugerahkan hadiah untuknya.
Dalam segenap kehidupannya,
dia sentiasa merasa diperhatikan Allah.
Rasa Allah sedang menilai
amal-amalnya. Bila dia merasai Allah sentiasa menilai dirinya, maka dirinya
sentiasa tergerak untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupannya.
Satu ketika, Nabi s.a.w.
bersabda kepada Ibn Abbas :
“Hai anakku,
sesungguhnya saya hendak mengajarkan kepadamu beberapa kalimat iaitu :
Peliharalah perinta Allah nescaya Dia akan memeliharamu (sepanjang masa),
peliharalah larangan Allah, nescaya engkau akan dapati ia selalu di hadapanmu.
Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau hendak
memohon maka mohonlah pertolongan dari Allah.”
Yang berjuang menjaga Allah
dalam senang dan susahnya, dalam ramai dan seorangnya, Allah juga akan
menjaganya setiap masa dan di mana jua dia berada.
Lihatlah, yang berjuang
menjaga muraqabatullah pastinya akan mendapat cinta Allah.
Maka, ketika Allah ingin
menganugerahkan cinta-Nya kepada kita, adakah yang lebih besar daripada itu?
Pasti. Pastinya tidak ada.
Jadi, apa lagi yang ditunggu?
Segeralah rebut nilaian Allah
!