Polis Aceh botakkan kepala 60 peminat muzik punk
BANDA ACEH, Indonesia - Polis memulihkan akhlak lebih 60 peminat muzik punk rock yang terdiri daripada golongan belia di wilayah Aceh, Sumatera dengan alasan mereka mencemarkan imej wilayah berkenaan.
Sejak ditangkap pada satu konsert di sini pada malam Sabtu lepas,
seramai 59 peminat punk rock lelaki dan lima peminat perempuan dipaksa
memotong rambut, menukar pakaian dan bersolat.
"Kami khuatir undang-undang syariah yang dilaksanakan di wilayah ini
akan tercemar akibat aktiviti mereka," kata Timbalan Datuk Bandar Banda
Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal semalam.
"Kami harap dengan menghantar mereka ke program pemulihan akhlak, mereka akhirnya akan bertaubat," tambahnya.
Beratus-ratus peminat punk rock Indonesia tiba di Aceh untuk menonton konsert itu bagi mengumpul derma anak yatim.
Polis kemudian menyerbu tempat konsert tersebut dan menangkap
sejumlah peminat yang menyimpan gaya rambut mohawks dan bertatu, memakai
seluar jeans ketat serta rantai.
Mereka dibawa ke sebuah kem berdekatan kelmarin bagi menjalani
program pemulihan akhlak selama 10 hari yang dikendalikan oleh pihak
polis.
Koresponden agensi berita AFP memberitahu, seorang gadis
menangis apabila beberapa wanita bertudung memotong pendek rambutnya
manakala beberapa lelaki mengeluh semasa kepala mereka dibotakkan.
"Kenapa mereka menangkap kami? Mereka tidak memberikan sebarang alasan," kata seorang pemuda, Fauzal, 20.
"Kami tidak mencuri, kami tidak mengganggu sesiapa. Kami berhak untuk menonton konsert," tambahnya.
Seorang lelaki berusia 22 tahun dari Medan yang ditahan di kem
berkenaan berkata, dia bimbang akan kelilangan pekerjaannya selepas
ditahan selama 10 hari.
"Saya baru mula bekerja di sebuah bank di Medan. Saya tidak tahu apa
yang perlu dikatakan kepada mereka (polis) kerana saya tidak tahu
mengapa kami ditangkap," katanya.
Polis sebaliknya menyatakan, penangkapan tersebut dibuat bagi mengelakkan golongan belia daripada berkelakuan menyimpang agama.
"Mereka tidak pernah mandi, mereka tinggal di jalanan, tidak pernah solat," kata Ketua Polis Aceh, Iskandar Hasan.
"Kami perlu memulihkan mereka supaya mereka berkelakuan baik dan
berakhlak. Mereka perlukan layanan keras bagi memulihkan mental mereka,"
tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan seorang aktivis hak asasi manusia
Indonesia, Evi Narti Zain berkata, penangkapan anak-anak muda itu
melanggar hak asasi manusia. - AFP
____________________
sumber : kosmo.com.my
Moga Polis Malaysia dapat mengambil inesiatif seperti ini
MQ melihat tindakan pihak Polis Indonesia, perlu dicontohi oleh Polis di Malaysia. Walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat ini.
Jika di Malaysia, remaja lebih bebas dan tidak ada kawalan terhadap mereka. Pernah satu ketika, MQ berjalan sekitar Bukit Bintang, KL, terdapat dua pasangan remaja (Melayu) berpelukan di tepi jalan. Agenda ini dilihat dan tegur oleh seorang uncle (Cina). Apabila ditegur, gelabah dan tak tentu arah mereka. Tahu pun takut. Ingatlah apa yang kita buat, kalau manusia tak nampak. Allah tetap melihat.
Bayangkan kalau tindakan Polis Malaysia seperti di Aceh, Indonesia. Rasanya remaja atau siapa pun takut nak berkelakuan buruk di khalayak ramai.