19 January 2012

Kunci Kewangan, Kesyukuran dan Kekayaan

Agak sepi wall Facebook saya kebelakangan ini. Beberapa projek tambahan yang diuruskan anak syarikat sedikit sebanyak menambah skop kerja saya.
brunei
Bulan Januari ini sahaja saya perlu ke Brunei, Sabah dan Pulau Pinang. Hanya 1 minggu sahaja betul-betul berada di Kuala Lumpur. Biarkan saya dengan kesibukan ini. Saya sungguh seronok!
Sebenarnya saya ingin berkongsi satu cerita. Ia berlaku ketika saya berada di Brunei atas urusan kerja beberapa tahun lepas. Hikmah ceritanya ialah saya berjaya mencapai apa yang saya ada pada hari ini.
Ketika itu saya ke Brunei bersama seorang mentor saya, juga merangkap rakan niaga. Beliau adalah mentor saya yang kelihatan paling selekeh walaupun berstatus jutawan.

Al-Kisah RM2 – Nilai Hina Tetapi Bermakna

Kisahnya saya membeli ubat gigi berharga RM2. Semasa berada di bilik hotel saya membuang resit ubat gigi itu ke dalam tong sampah dan berkata di hati saya,
“Alah, RM2 ringgit sahaja, tidak mengapa pun kalau tidak catat.” (Wah, sombongnya saya!)
rm2 ringgit
Mentor saya mengambil balik resit tersebut di dalam tong sampah, dan mencatat perbelanjaan RM2 tersebut di dalam buku perbelanjaan syarikat.
Beliau berpesan kepada saya,
“Ariff, wang ringgit adalah satu amanah besar dianugerahkan Allah kepada kamu untuk diuruskan dengan baik. Walaupun harga barang itu hanya RM2, kita perlu tunjukkan dan buktikan kepada Yang Maha Kuasa bahawa kita menguruskan setiap sen anugerahNya itu dengan amanah, jujur dan disertakan rasa syukur.”

Tambahnya lagi,
“Jika kita pandang RM2 itu dengan nilai yang kecil, maka kecillah kita akan dapat. Jika kita pandang RM2 itu dengan nilai yang besar disertakan rasa kesyukuran yang tinggi maka besarlah kita akan dapat.”
Mungkin kita pernah lihat sebilangan individu atau syarikat yang sudah mencapai ‘wang besar’. Kemudian hilang balik apa yang dimiliki dalam sekelip mata atau sedikit demi sedikit. Mungkin juga kita sendiri pernah alami situasi ini.

Mensyukuri Nikmat Kecil Membawa Keuntungan Besar

Setinggi mana tahap kita sekarang, menghargai dan mensyukuri sekecil-kecil nikmat membantu kita mencapai lebih banyak rezeki luar jangka secara terus menerus.
bersyukur
Jika sebaliknya, kita boleh hilang apa yang dimiliki sekarang dan tidak mustahil jatuh miskin kerana kita seolah-olah membuktikan kepada pencipta bahawa kita tidak layak menguruskan rezeki milikNya.
Tuan-tuan dan cikpuan-cikpuan yang mulia hatinya, pengurusan mantap kewangan individu atau syarikat adalah salah satu bukti kukuh kita kepada pencipta, bahawa kita layak memegang amanahNya.
Seterusnya layak untuk dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah selama hidup kita di dunia. Setiap sen itu juga akan dihitung di akhirat sana.
Kredit gambar yang diambil dari Flickr (buyietelekon1crads313)

About the Author
Hasbul Ariff merupakan Pengarah Urusan VAG Network, sebuah syarikat yang menganjurkan pelbagai program keusahawanan di seluruh negara termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia. Pada tahun 2011, beliau mengorak langkah bergabung dengan beberapa usahawan berjaya mengasaskan Akademi Usahawan, bertujuan meluaskan lagi ilmu keusahawanan di kalangan masyarakat di Malaysia. Selain itu, beliau menjadi konsultan dalam membangunkan beberapa syarikat IT tempatan termasuklah menjadi penasihat kepada Majalah Niaga dan Komik Niaga.
Follow Me on Facebook [at] hasbulariff