Kuala Lumpur

Sebuah sajak nukilan Manan Qayyim

Hari esok Untuk Islam

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi.....

Ketika Siti Hajar Mencari Air Untuk Anaknya

... Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada peraturan suaminya.

Tips berBlog untuk Para Blogger

Perkembangan blog pada hari ini semakin bertambah banyak hari demi hari, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Proses membuat satu blog bergitu mudah berbanding website.....

Jangan Promosi Dosa di Facebook dan Blog

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak...

29 December 2011

Perkembangan Fesyen Masa Kini : Negatif atau Positif

Kemodenan dalam islam bukan satu penghalang untuk kita maju kehadapan. Kita sebenarnya bukan "ketinggalan zaman" atau "kuno" apabila kita tidak mengikuti trend dedah aurat yang semakin menular masa kita. 

Petukaran zaman demi zaman itu sendiri telah menunjukan kita telah berubah demi kemajuan yang lebih baik. Pada zaman Jahiliyah, manusia tidak menutup aurat dan bila datangnya islam. Umat menusia lebih moden dengan perkembangan fesyen ketika itu.

Kita zoom lebih dekat dengan kehidupan kita di Malaysia. Kalau kita lihat ketika zaman 50-an dan 60-an masyarakat ketika itu berpakaian tudung nampak jambul bagi wanita dan lelaki gemar mengenakan seluar pendek. Perubahan zaman masa kini, kita dapat lihat wanita kini lebih berfesyen dengan memakai tudung yang lebih sempurna sifatnya dan bergitu juga fesyen bagi lelaki. Namun dicelah kemodenan itu, ada lagi yang ingin kebelakang seperti zaman 50-an, 60-an dan Zaman Jahiliyah.

Ikuti penjelasan lanjut dalam vedio dibawah :




Picture from : hairunnisak.wordpress.com

28 December 2011

Syarat yang Dibenarkan untuk Melakukan Maksiat

Lumrah kehidupan seorang insan sememangnya dikurniakan nafsu. Persoalannya bangaimana kita menguruskannya dengan baik agar tidak tersasar dari landasan yang sebenar. Saya sendiri tidak lari daripada permasalahan ini. Sebagai renungan  kita bersama ayuh kita hayati kisah Ibrahim ibn Adham dan seorang lelaki yang gemar bermaksiat. Moga-moga kita berfikir dua tiga kali sebelum melakukan maksiat.
******
Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.





credit to: cahayamukmin.blogspot.com

27 December 2011

BICARA CINTA | Oleh : Ustaz Pahrol Juoi

Ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol Juoi, berkaitan bagaimana memupuk kecintaan kita terhadap baginda Rasullulah S.A.W. melalui penerangan dan analogi yang jelas serta mudah diikuti. 



21 December 2011

Allah Ketika Solat, Adalah Allah Yang Sama Ketika Ingin Bermaksiat.

Bukan mudah untuk merasai Allah sentiasa mengawasi kita 24/7 dalam kehidupan kita. Rasa Allah sentiasa Mengawasi.Dalam bahasa Arabnya, disebut muraqabatullah.

Tahu Allah Maha Memerhati dan Maha Mengawasi.
Tahu Allah itu sentiasa ada, tidak pernah mati.

Tetapi, kadang-kadang tindakan kita selalunya tidak menampakkan seolah-olah kita merasai Allah Maha Mengawasi.

Mudah merasai pengawasan Allah bila berada di tengah ramai, tetapi bila seorang diri, Allah baginya seolah-olah tidak wujud lagi.

Mudah merasai pengawasan Allah ketika berada dalam terdesak dan kesusahan, tetapi ketika senang dan lapang, Allah pun ditinggalkan.

Adakah Allah hanya wujud ketika kita bersama dengan kawan-kawan yang soleh sahaja?

Atau adakah Allah hanya wujud ketika solat, ketika kita benar-benar terdesak?

Adakah Allah tidak wujud pada waktu-waktu lain?

AMBILLAH IBRAH DARIPADA KISAH 3 ORANG BANI ISRAIL YANG DIUJI ALLAH

Kisah yang telah kita biasa dengari. 3 orang daripada Bani Israil telah diuji Allah dengan penyakit-penyakit yang menyebabkan masyarakat telah menyisihkan mereka.

Mereka adalah yang biasa kita dengari dengan Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.

Saya tidak akan ceritakan keseluruhan kisah itu di sini. Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi. Kisah ini diceritakan oleh Rasul s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Mereka ini semuanya telah didatangi oleh malaikat untuk mendoakan kesembuhan bagi diri mereka. Bahkan, mereka telah ditawarkan dengan binatang ternakan yang mereka inginkan.

Kesemua mereka mendapat apa yang mereka inginkan. Setelah sembuh dan binatang ternakan masing-masing berkembang biak, Allah telah menguji mereka sekali lagi. Allah datangkan malaikat sekali lagi dalam keadaan menyerupai manusia yang miskin dan susah untuk menguji mereka.

Setelah berada dalam keadaan yang senang dan sihat, ternyata mereka telah lupakan Allah. Si Sopak dan Si Botak telah gagal dalam ujian itu. Ketika susah, mereka berharap penuh kepada Allah. Setelah Allah anugerahkan kesenangan dan kesihatan kepada mereka, mereka melupakan Allah.

Si Buta, tetap dalam keadaan celiknya itu , dalam keadaan beliau yang telah kaya raya itu, masih tetap terus mengingati Allah dengan membenarkan malaikat yang datang mengujinya untuk mengambil sebanyak manapun daripada binatang ternakan yang dimilikinya. Dia tahu yang menilai dirinya semasa dia buta dan semasa dia celik adalah Tuhan yang sama, iaitu Allah.

YANG MERASA LONGGAR DENGAN PENGAWASAN ALLAH, INGATLAH YANG ALLAH SENTIASA CEMBURU

Ramai yang tahu Allah Maha Memerhati. Tetapi berapa ramaikah yang benar-benar merasai dan menjiwai pengawasan Allah itu 24/7?

Kadang-kadang, bila berada dalam suasana yang soleh, suasana yang wujudnya peringatan, jiwa kita seolah-olah terasa begitu dekat dengan Allah. Tetapi, bila pulang ke rumah, tidak ada suasana-suasana yang mengingatkan, kita pun merasa longgar daripada ikatan dengan Allah.

Dalam solat, mampu mewujudkan perasaan Allah Maha Mengawasi. Tetapi, bila keluar daripada solat, perasaan itu seolah-olah tidak pernah wujud.

Di celah-celah kelonggaran ikatan kita dengan Allah itulah, syaitan sentiasa mengambil peluang untuk menjauhkan lagi kita daripada Allah. Maka, kita kembali bermaksiat kepada Allah ketika seorang diri. Kita kembali melazimi diri dengan dosa setelah keluar daripada solat.

Mampu menjaga Allah ketika dalam solat, tetapi gagal menjaga Allah pergaulan dan percakapan.

Mampu merasa Allah ada ketika dalam suasana soleh, tetapi gagal merasa Allah ada ketika menonton movie, ketika melayari internet.

Ingatlah yang Allah itu sentiasa cemburu dengan hamba-Nya. Kehidupan yang Dia anugerahkan, tetapi kita habiskan majoritinya untuk dosa dan maksiat. Kita jauhkan kehidupan kita daripada pengawasan Allah.

Allah pun merasa cemburu terhadap kita. Bagaimana?

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang mafhumnya : ‘Sesungguhnya Allah Taala itu cemburu dan kecemburuan Allah Taala itu ialah apabila seseorang manusia mengerjakan apa-apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya.’
[Muttafaq Alaih]

ALLAH ITU SENTIASA ADA KETIKA KAU INGIN BERMAKSIAT

Ketika ingin bermaksiat, ingatlah balasan yang akan menimpa dirimu di akhirat nanti. Api neraka dengan kepanasannya yang menggelegak sentiasa menunggu hidangannya. Buah zaqqum dan cairan tembaga yang nantinya akan menghancurkan isi perutmu.

Ketika ingin bermaksiat, segeralah detikkan pada hati yang Allah sedang Memerhati. Jika masih ada rasa untuk bermaksiat, maka kita memang telah bersedia untuk menanggung seksa kubur, dibelit ular, disengat kala dan disebat malaikat sehingga terbenam ke dalam bumi.

Dengan segalanya yang telah Allah berikan untuk kita layakkah kita membalas Allah dengan dosa-dosa kita yang mengenepikan Allah di waktu-waktu senang kita?

Lalu fikirkan pula, setelah kita sentiasa melupakan Allah, maka ketika saat terdesak, ketika tidak ada siapa yang mampu menolong melainkan hanya Allah, maka apakah layak bagi kita untuk memohon pertolongan dari-Nya ketika itu?

Ingatlah yang Allah sentiasa ada, tidak pernah mati. Allah yang kita sembah ketika solat, adalah Allah yang sama melihat kita ketika ingin bermaksiat.

Allah sentiasa kekal tidak pernah fana.

Kalau menunggu terdesak, baru hendak merasa Allah ada, baru hendak kembali kepada Allah, bimbang kita akan jadi orang yang tidak mempunyai kesempatan untuk kembali seperti Firaun.
Sementara kesempatan masih ada, maka segeralah perbaiki.

PENUTUP : YANG BERJUANG MENJAGANYA, AKAN MENDAPAT CINTA ALLAH. ADAKAH YANG LEBIH BESAR DARIPADA ITU?

Yang terus berjuang menjaga muraqabatullah, Allah akan anugerahkan hadiah untuknya.
Dalam segenap kehidupannya, dia sentiasa merasa diperhatikan Allah.

Rasa Allah sedang menilai amal-amalnya. Bila dia merasai Allah sentiasa menilai dirinya, maka dirinya sentiasa tergerak untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupannya.

Satu ketika, Nabi s.a.w. bersabda kepada Ibn Abbas :
“Hai anakku, sesungguhnya saya hendak mengajarkan kepadamu beberapa kalimat iaitu : Peliharalah perinta Allah nescaya Dia akan memeliharamu (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah, nescaya engkau akan dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau hendak memohon maka mohonlah pertolongan dari Allah.”

Yang berjuang menjaga Allah dalam senang dan susahnya, dalam ramai dan seorangnya, Allah juga akan menjaganya setiap masa dan di mana jua dia berada.

Lihatlah, yang berjuang menjaga muraqabatullah pastinya akan mendapat cinta Allah.

Maka, ketika Allah ingin menganugerahkan cinta-Nya kepada kita, adakah yang lebih besar daripada itu?

Pasti. Pastinya tidak ada. Jadi, apa lagi yang ditunggu?

Segeralah rebut nilaian Allah !

About the Author 
Afdholul Rahman bin Che Ani. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.
Artikel ini dari Langit Ilahi

20 December 2011

Tujuh Golongan Manusia Yang Akan Diberi Perlindungan Oleh Allah Dalam Naungannya Di Hari Yang Tiada Naungan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.

Huraian
1. Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Nasib rakyatnya adalah terletak di tangannya. Tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

2. Manakala pemuda yang kuat beribadah adalah menunjukkan betapa di usia sebegini (muda) seseorang itu terpaka mengharungi berbagai cabaran dan godaan. Oleh itu bagi orang yang berjaya mendidik nafsunya dengan baik dia akan beruntung kerana mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental untuk melakukan kebaikan dan beribadah kepada Allah. Begitulah sebaliknya bagi mereka yang terjerat dengan pujuk rayu syaitan maka seluruh usia mudanya akan dihabiskan untuk melakukan maksiat dan dosa. Beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

3. Orang yang berjinak dengan masjid pula sudah tentu mendapat jaminan syurga oleh Allah kerana ia telah menjadi tetamu Allah dan mengimarahkan masjid (rumah) Allah dengan amal ibadat dan ini menjadikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah. Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan dikategorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

4. Sedangkan orang yang berkasih sayang kerana Allah merupakan mereka yang mempunyai nilai-nilai yang dituntut oleh Islam iaitu ikhlas dalam menjalinkan hubungan silaturrahim dan ingat-mengingatkan tentang kebaikan antara satu dengan yang lain. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.

5. Menolak daripada melakukan maksiat apalagi zina merupakan tanda kekuatan iman seseorang yang berjihad melawan nafsunya dan bisikan syaitan yang menggoda. Oleh itu mereka yang berjaya melakukannya adalah orang yang teguh imannya, tidak mudah goyah untuk melakukan sebarang kejahatan. Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.

6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu.

7. Orang yang mencintai Allah S.W.T dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.
________
Credit to :zoolhelmi.blogspot.com & facebook.com

19 December 2011

ASALKAN HATINYA BAIK?

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam.

“Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, “ tegasnya.

“Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat,” tambahnya lagi.

Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.

“Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?” tanya saya lembut.

“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”

“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”

“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.

“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”

“Itu sahaja?”

“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”

“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”

“Mengapa?”

“Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia suatu yang objektif dan mutlak, ” akui saya terus-terang.

“Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!”

Saya cuba senyum lantas berkata,” akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.”

“Jadi akal kita untuk apa?” desaknya lagi.

“Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan.”
“Ertinya akal kita terikat?”

“Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing ini… tetapi tetap pada paksinya.”

“Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?”

“Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman.”

“Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?”

“Separuh betul,” jawab saya.

”Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut… ya dia ‘baik’ di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia ‘tidak baik’ di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran.”

Anak muda di hadapan saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.

“Tetapi dia jujur, amanah…”

“Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah.”

Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk,  “namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga.”

“Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?”

“Masih merujuk kepada Al Hadis.”

“Hadis yang mana?”

“Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah.”

 “Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?”

“Secara tidak langsung  itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita solehah.”

“Maksud ustaz?”

“Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat.”

“Oh, begitu. Kenapa ya?”

“Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik,  lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik.”

“Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?”

“Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal… dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha.”

“Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?”

“Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah…”

“Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat…”

“Jika hatinya benar-benar jahat… lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula.”

“Mengapa?”

“Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah.”

“Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat… lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja.”

“Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat… akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat… secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot.”

“Siapa wanita yang paling baik?” tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung muka saya. Serius dan tajam renungannya.

“Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w.” jawab saya pasti.

“Bagaimana pakaian mereka?”

“Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. ”

Kali ini dia pula terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, “kalaulah hati yang baik sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat.”

“Wanita yang baik mesti menutup aurat?”

“Ya.”

“”Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?”

“Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat.”

“Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?”

“Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik.”

“Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit.”

“Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak… itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat … Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!”

“Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?” Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.

“Wallahua’lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka… yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!”

Dia senyum. Alhamdulillah.

“Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang…”

“Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?”

Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya… insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!

_____Penulis______
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.

15 December 2011

Peminat Muzik Punk Rock Ditangkap, Dibotakan dan Diarahkan Bersolat

Polis Aceh botakkan kepala 60 peminat muzik punk

BANDA ACEH, Indonesia - Polis memulihkan akhlak lebih 60 peminat muzik punk rock yang terdiri daripada golongan belia di wilayah Aceh, Sumatera dengan alasan mereka mencemarkan imej wilayah berkenaan.

Sejak ditangkap pada satu konsert di sini pada malam Sabtu lepas, seramai 59 peminat punk rock lelaki dan lima peminat perempuan dipaksa memotong rambut, menukar pakaian dan bersolat.

"Kami khuatir undang-undang syariah yang dilaksanakan di wilayah ini akan tercemar akibat aktiviti mereka," kata Timbalan Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal semalam.

"Kami harap dengan menghantar mereka ke program pemulihan akhlak, mereka akhirnya akan bertaubat," tambahnya. 

Beratus-ratus peminat punk rock Indonesia tiba di Aceh untuk menonton konsert itu bagi mengumpul derma anak yatim.

Polis kemudian menyerbu tempat konsert tersebut dan menangkap sejumlah peminat yang menyimpan gaya rambut mohawks dan bertatu, memakai seluar jeans ketat serta rantai.

Mereka dibawa ke sebuah kem berdekatan kelmarin bagi menjalani program pemulihan akhlak selama 10 hari yang dikendalikan oleh pihak polis.

Koresponden agensi berita AFP memberitahu, seorang gadis menangis apabila beberapa wanita bertudung memotong pendek rambutnya manakala beberapa lelaki mengeluh semasa kepala mereka dibotakkan.

"Kenapa mereka menangkap kami? Mereka tidak memberikan sebarang alasan," kata seorang pemuda, Fauzal, 20.

"Kami tidak mencuri, kami tidak mengganggu sesiapa. Kami berhak untuk menonton konsert," tambahnya.

Seorang lelaki berusia 22 tahun dari Medan yang ditahan di kem berkenaan berkata, dia bimbang akan kelilangan pekerjaannya selepas ditahan selama 10 hari.

"Saya baru mula bekerja di sebuah bank di Medan. Saya tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada mereka (polis) kerana saya tidak tahu mengapa kami ditangkap," katanya.

Polis sebaliknya menyatakan, penangkapan tersebut dibuat bagi mengelakkan golongan belia daripada berkelakuan menyimpang agama.

"Mereka tidak pernah mandi, mereka tinggal di jalanan, tidak pernah solat," kata Ketua Polis Aceh, Iskandar Hasan.

"Kami perlu memulihkan mereka supaya mereka berkelakuan baik dan berakhlak. Mereka perlukan layanan keras bagi memulihkan mental mereka," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan seorang aktivis hak asasi manusia Indonesia, Evi Narti Zain berkata, penangkapan anak-anak muda itu melanggar hak asasi manusia. - AFP
____________________
sumber : kosmo.com.my

Moga Polis Malaysia dapat mengambil inesiatif seperti ini

MQ melihat tindakan pihak Polis Indonesia, perlu dicontohi oleh Polis di Malaysia. Walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. 

Jika di Malaysia, remaja lebih bebas dan tidak ada kawalan terhadap mereka. Pernah satu ketika, MQ berjalan sekitar Bukit Bintang, KL, terdapat dua pasangan remaja (Melayu) berpelukan di tepi jalan. Agenda ini dilihat dan tegur oleh seorang uncle (Cina). Apabila ditegur, gelabah dan tak tentu arah mereka. Tahu pun takut. Ingatlah apa yang kita buat, kalau manusia tak nampak. Allah tetap melihat.

Bayangkan kalau tindakan Polis Malaysia seperti di Aceh, Indonesia. Rasanya remaja atau siapa pun takut nak berkelakuan buruk di khalayak ramai.

14 December 2011

Anjaklah Diri Kamu Setinggi Al-Fateh !

Al-Fateh, adalah nama yang tidak asing lagi bagi kita. Sejarah pembukaan Kota Konstantinopel yang sangat hebat di tangan mereka yang Rasulullah s.a.w. sebutkan sebagai sebaik-baik panglima dan sebaik-baik tentera itu sentiasa segar dalam ingatan kita.

Nama Al-Fateh itu biasanya merujuk kepada seorang Sultan Muhammad, tetapi hakikatnya al-Fateh itu bukanlah seorang, tetapi ia adalah sekumpulan manusia. Merekalah yang terlibat dalam usaha melahirkan seorang Sultan Muhammad Al-Fateh, iaitu ayahnya dan guru-gurunya, yang terlibat dalam usaha membebaskan Konstantinopel iaitu tentera-tenteranya sehinggalah kepada Sultan Muhammad itu sendiri.

Merekalah Al-Fateh. Sekumpulan manusia yang kuat jiwa dan kuat juga usaha. Mereka adalah yang sentiasa menjaga kualiti iman mereka.

Lihatlah bagaimana Allah menundukkan dunia kepada mereka. Konstantinopel yang telah berkali-kali kebal daripada cubaan-cubaan serangan sebelum zaman mereka, akhirnya lumpuh di tangan mereka.

Sultan Muhammad Al-Fateh, berapakah umurnya ketika itu?

Semasa mula memegang takhta menggantikan ayahnya, beliau berumur 19 tahun. Hanya 2 tahun selepas itu, Konstantinopel telah berjaya ditawan di tangan mereka.

2 tahun, adalah suatu masa yang singkat. Tetapi, 2 tahun itu diguna dengan penuh manfaat. Tidak pernah jemu dan kenal erti penat kerana mereka adalah yang memiliki visi akhirat.


YANG MEMILIKI VISI AKHIRAT ADALAH YANG MENCARI SEBAB UNTUK MENJADI KUAT

Mendengar kisah begini, nanti ada yang akan berkata:
“Alah, bolehlah. Mereka tu kan Rasulullah dah janjikan macam tu.”
“Sultan Muhammad tu anak khalifah. Senanglah nak tawan Konstantinopel sebab dia dah jadi sultan. Kita ni, dahlah takde apa-apa. Kedudukan pun tak ada, harta pun cukup-cukup je.  Jangan mimpilah.”

Yang beralasan begitu, tidakkah mereka memerhatikan kesungguhan Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya dalam mengejar janji Rasul s.a.w. itu?

Dan tidakkah kalian melihat juga bahawa kalau Sultan Muhammad itu cuma berjuang seorang, tanpa tenteranya di sisi, pastinya tidak akan mampu membuah apa-apa. Tentera-tenteranya juga adalah Al-Fateh, yang menjadi sendi utama pembukaan Kota Konstantinopel.

Mereka bukan sahaja bersungguh-sungguh dalam melaksanakan strategi, tetapi mereka sangat teliti dalam menjaga hubungan hati mereka dengan Allah. Mereka mencari sebab untuk menjadi kuat.
Dan, hubungan dengan Allah itu yang menjadikan mereka benar-benar kuat.

Hari ini, berapa ramaikah pemimpin yang benar-benar menjaga hubungan mereka dengan Allah?

Tidak ramai. Hakikatnya, bukan senang bagi seseorang yang sudah memiliki kedudukan yang tinggi, harta yang banyak untuk menundukkan hatinya dengan sebenar-benar ketundukan kepada Allah.

Tetapi, mereka mampu kerana mereka adalah yang benar-benar menggerakkan keimanan. Lantas itu, Allah menganugerahkan kota itu sebagai tanda kemenangan. Bukan kemenangan zahir semata-mata, tetapi kemenangan iman.


MEREKA ADALAH YANG MEGGERAKKAN KEIMANAN

Mereka adalah yang sentiasa menjaga iman mereka. Turun naik sentiasa diperhatikan. Kalau turun, cepat-cepat mereka berusaha untuk memulihkan. Bila naik, dipastikannya berterusan.

Takhta dan kedudukan, bukan itu dahulu yang menjadi rebutan. Apalagi harta kekayaan, memang tidak pernah mereka harapkan.

Yang menjadi igauan mereka adalah menembus syurga idaman.

Pada solat Jumaat yang pertama kali ingin didirikan di Kota Konstantinopel itu, Sultan Muhammad Al-Fateh bangun untuk memilih imam bagi solat tersebut. Yang dinilainya bukan siapa yang paling tinggi kedudukan dalam tenteranya. Bukan jeneral, bukan mejar, bukan leftenan yang dipilihnya.

Bukan juga yang dipilihnya yang paling kaya di kalangan tenteranya. Bukan juga yang paling sedap bacaannya dipilihnya untuk mengimami solat itu.

Tetapi, penilaiannya adalah pada solat. Soalan pertama yang ditanya pada tenteranya adalah solat fardhu. Bila ditanya, ternyata tidak ada yang pernah meninggalkannya sejak baligh.

Soalan kedua berkaitan solat sunat rawatib. Duduk sebahagian tenteranya menandakan mereka pernah meninggalkannya.

Hinggalah kepada soalan ketiga iaitu solat sunat tahajjud. Maka duduk habislah kesemua tenteranya kecuali beliau. Maka, ternyata beliau adalah yang tidak pernah meninggalkan ketiga-tiganya sejak baligh hinggalah saat itu.

Memang benarlah hadis Rasul s.a.w. bahawa beliau adalah sebaik-baik panglima. Beliau tidak pernah meninggalkan bekalan-bekalan kekuatannya meskipun sibuk dengan tugasan sebagai seorang khalifah. Bahkan, tentera-tenteranya juga sangat menjaga ibadah mereka.

Itulah yang membentuk kekuatan jiwa mereka. Lantas itu, mereka tidak pernah ada rasa mengalah walaupun telah berhari-hari menyerang Kota Konstantinopel sehingga seolah-olah tidak nampak ada tanda-tanda untuk menang pun.

Himmah mereka yang jauh lebih tinggi menyebabkan rasa mengalah itu telah kalah untuk mengikuti jiwa-jiwa mereka.


MEREKA TIDAK TINGGALKAN SEKADAR MERANCANG

Mereka menjadi hebat kerana mereka membumikan segala perancangan dalam kehidupan. Mereka tidak tinggalkan hanya sekadar merancang.

Ada orang bila merancang, begitu gah dan hebat sekali. Tetapi, bila tiba masa merealisasikan, perancangan hanya tinggal sekadar perancangan.

Ada orang merancang, tetapi perancangannya tidak mampu dicapai kerana tidak realistik.

Tetapi lihatlah pada generasi Al-Fateh. Perancangan itu telah bermula sejak berabad lamanya sehinggalah ke zaman Sultan Muhammad II. Perancangan itu bermula daripada ayahnya lagi. Lihatlah bagaimana ayahnya, Sultan Murad II sangat menekankan pendidikan yang syumul (menyeluruh) kepada beliau.

Tidak hanya diberi kemahiran-kemahiran dunia, tetapi diajar juga seni-seni akhirat sana.

Kesannya, Sultan Muhammad membesar dengan cita-cita yang besar. Beliau telah menjadi orang yang merealisasikan sabda Rasul s.a.w.

Beliau membesar dalam keadaan menjaga hak dunia dan akhiratnya. Bahkan, tentera-tenteranya juga adalah yang menjaga dunia dan akhirat mereka.

Beliau dengan pelbagai perancangan dan strategi telah berjaya menembusi Kota Konstantinopel. Usaha-usaha mereka itu luar biasa sekali. Mana mungkin orang pernah terfikir untuk mengangkat kapal merentasi bukit hanya dalam satu malam semata-mata untuk menempuh selat yang tekah dihalang dengan rantai besi itu. Tetapi, itulah kedahsyatan iman Sultan Muhammad dan tentera-tenteranya.


PENUTUP : ANJAKLAH DIRI SETINGGI MEREKA


Kalau Sultan Muhammad yang kecilnya dahulu adalah anak yang degil, tetapi mampu membesar menjadi seorang pemimpin yang hebat, kita kenapa tidak?

Cuma yang tinggal pada sekarang kita hanyalah usaha.

Usaha membaiki diri.

Usaha menambah kemahiran-kemahiran pada diri.

Usaha untuk disiplin dalam menjaga kualiti ibadah.

Usaha untuk memelihara hubungan dengan Allah.

Kita tahu, tetapi belum menterjemahkan semua yang kita TAHU itu kepada MAHU.

Yang mahukan syurga adalah yang benar-benar berusaha. Bagaimana berusaha, maka lihatlah pada generasi Al-Fateh itu.

Bukan disuruh mengangkat kapal merentasi bukit. Tidak. Bukan itu yang perlu kita lakukan.

Bukan juga disuruh pergi menawan satu lagi kota. Tidak. Bukan itu juga.

Tetapi, berusahalah sehingga tahap kesungguhan yang begitu. Barulah mampu untuk kita menjadi seperti mereka.

Anjaklah diri menjadi setinggi mereka, barulah layak bermimpikan syurga!

Sumber: Langitilahi.com

13 December 2011

Meratib Janji | Sajak

Getar bibir dijentik rusuh
berakar dari hati yang terturis
oleh belati beracun keinsafan
dan carikan noda bercempera
menghambat kelekaan; keasyikan lalu.

Detik masa memimpin janji
tiada lagi ruang kelalaian
di celah-celah keberahian
lalu beratur alunan penyesalan
dari gua mulut ke gapura hati
bersama meruntun kasih Ilahi.

Ratib pun menjadi saksi
seleret janji yang menyempadani
sebuah perjanjian dan persefahaman
antara insan –– Tuhan.


Khalil Zaini
Pantai Dalam, KL


Tunas Cipta,
Oktober 2011.

09 December 2011

Kini Kembali Bersama

Assalamulaikum dan Selamat pagi jumaat semua.

Sudah agak lama tidak saya coretkan idea dan pandangan di laman ini (Lebih kurang 3 minggu). Kesebokan urusan di alam nyata lebih daripada memperuntukan masa di alam maya. Kadang kala hanya seketika dapat bersama disini.

Isya-Allah saya akan cuba sebaik mungkin akan terus menyampaikan curahan idea dan coretan madah yang bermanfaat kepada anda semua.

Abdul Manan bin Abdullah,
www.mananqayyim.com