Perkembangan blog pada hari ini semakin bertambah banyak hari demi hari, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Proses membuat satu blog bergitu mudah berbanding website, dengan kehadiran aplikasi yang mesra pengguna ini, sesuatu blog boleh disiapkan dalam masa tidak lebih dari 5 minit. Sungguh mudah dan cepat bukan. Contoh aplikasi blog yang disediakan secara percuma adalah Blogger, Wordpress, dan Tripod.
Oleh itu, pra blogger yang beragama islam digalakan membaca artikel ini sebagai panduan dalam kita menjadi seorang blogger.
Namun, keasyikan berblog ini mengakibatkan sesetengah blogger tidak menghiraukan batas dan panduan kita sebagai manusia berakal dan umat islam terutamanya. Adab-adab berbloger perlu diketahui dan diamalkan agar tidak menyentuh sensitiviti sesetengah pihak, menfitnah, membuat dosa dan bermacam lagi.
Tips Berblog Agar Ia menjadi amalan soleh Oleh : BroHamzah
Pertama, saya ingin ucapkan jutaan penghargaan buat teman-teman, rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang sudi meninggalkan jejak kalian diruangan komentar post saya yang lepas. Syukran, Alhamdulillah. Terasa wujudnya satu hubungan yang akrab antara kita semua. Saya dan anda dihubungkan hanya dengan ruangan maya yang jaraknya hanyalah dengan titipan dan coretan di bingkai-bingkai antaramuka blog kita.
Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.
Semoga Allah SWT merahmati anda semua. Mudah-mudahan kehidupan kita akan diberkati dan dirahmati Allah SWT.
Ada yang bertanya kepada saya. Berkaitan tips berblog. Tersenyum saya. Kenapa soalan itu yang diajukan? Saya ini bukanlah orang yang arif benar tentang perkara ini. Hendak ketawa pun ada. Tetapi apabila difikirkan mungkin ada moleknya, saya kongsikan serba sedikit tips-tips berblog, menulis di ruangan blog dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Perkongsian saya ini mungkin terbatas kepada pengalaman saya yang terhad, ilmu saya yang tidak seberapa dan pemerhatian saya yang mungkin tidak cukup matang. Semoga ia bermanfaat buat saya dan juga kalian, sidang pembaca yang budiman.
Tips Berblog
Hari ini, jika diamati ramai di kalangan komuniti masyarakat kita mempunyai blog. Rakan saya, - usianya sudah 30 an- anak sulungnya dalam darjah 4 sudah mempunyai blog sendiri. Teruja juga saya mendengar ceritanya. Katanya, anaknya yang membina blog itu sendiri dengan mempelajarinya secara pembacaan.
Advance kanak-kanak sekarang ini. Detik hati saya.(‘’,). Itulah penangan dunia maya, internet dan blog. Sesiapa sahaja sebenarnya boleh berblog. Tanpa batas umur, ilmu, kerjaya dan bidang kemahirannya. Jika anda punyai hasrat, kemahuan,keinginan dan cita-cita. Anda akan menjadi seorang blogger. Syaratnya, very simple : - Anda perlu ada blog.
Tetapi, blog bagaimana yang ingin kita miliki. Apakah intipati dan pengisian yang ingin kita ketengahkan dalam blog kita? Itu persoalan asas yang harus kita jawapan dengan nada yang jelas.
Saya selalu diingatkan, bahawa apa yang kita kongsikan, tuliskan, persembahkan dan catat di dalam blog akan dirakam, direkod, dinilai dan akan diadili dihadapan Allah SWT kelak. Yang baik atau yang buruk, yang bermanfaat atau sebaliknya – semuanya akan memberi kesan kepada akhirat saya. Kekadang, saya membaca kembali apa yang saya nyatakan di ruangan blog ini sama ada di ruangan post utama, diruangan shout box (sembang-sembang), ruangan komentar dan sebagainya. MasyaAllah, apa yang telah aku tulis ini. Sifat berhati-hati dan dicermati dengan TAQWA harus ada di dalam berblog ini.
Kerana apa? – Mudah-mudahan berblog ini juga akan menjadi medan untuk kita mengumpul bekalan amalan soleh. Boleh ke? Ya, sudah tentu boleh. Saya kongsikan dengan anda, beberapa tips berblog agar, ia menjadi amalan soleh yang berkat dan bermakna buat diri kita semua. InsyaAllah.
Rangkaian & Jaringan Blog yang bermanfaat
Tips Berblog – Agar Ia menjadi amalan soleh
Dengan nama Allah SWT, saya kongsikan sebagai peringatan buat diri dan juga manfaat buat kita semua. Sekiranya ada apa-apa yang kurang, mohon diteguri dan ditambah. InsyaAllah.
(1) Niat dan cetusan hati
Perkara utama yang harus diselidiki dan cermati dalam berblog ini ialah NIAT asal kita. Soal diri dengan jujur, ikhlas dan tanpa berpura-pura.
“ Wahai diri, untuk tujuan apakah aku berblog ini?,” Bermonologlah dengan diri dengan sebenar-benarnya. Pertanyaan ini sangat penting, agar kita benar-benar jelas akan matlamat, tujuan dan objektif kita membina, membuat dan berblog.
“ Alah, benda-benda macam ini pun hendak kena berniat baik ke?,”
“ Remeh temeh je ini,”
Saudara, kerana perkara remeh temeh la ramai yang tersasar jauh. Indahnya Islam, soal niat yang kecil ini menjadi perkara utama dan asas dalam beramal.
Ayuh saudara saudari, kita buat satu anjakan yang baru. Kita niatkan dan tajdidikan niat kita semuanya. Jika kita punyai blog, website dan apa jua platform di alam maya ini semuanya adalah untuk dijadikan ubudiyah kepada Allah SWT. Semoga amalan ini didepani dengan nilaian syara. Dalam soal ini, motto hidup saya tidak akan pernah berubah buat selama-lamanya iaitu : “ Syara sentiasa dihadapan, Allah is number One!,”
(2) Konsep dan Tema blog kita
Baik, seterusnya kita sembang-sembang pula soal yang tidak kurang pentingnya iaitu konsep dan tema blog kita. Inilah sebenarnya kekuatan blog seseorang.
Konsep dan tema yang diketengahkan. Ada orang, tema blognya ialah perkongsian dan catatan kehidupan sehariannya. Ada pula, menjadikan blognya medan untuknya membuat analisis isu-isu semasa, malah ada juga tempat ia berkongsi resipi-resipi masakan. Terpulanglah kepada kita. Yang penting, kita selesa, tenang dan suka akan konsep serta tema yang kita bawakan itu.
Banyak sebenarnya yang boleh kita kongsikan dalam blog : Hasil karya penulisan kita seperti cerpen, puisi, sajak dan sebagainya. Gambar-gambar yang ditangkap secara kreatif, catatan pengalaman kembara, kisah-kisah kehidupan yang membangkitkan motivasi diri, berita-berita dunia dan fakta-fakta yang jarang-jarang diketahui umum.
Nah, anda macamana pula? Sudah ada konsep dan tema blog anda?
(3) Rekabentuk, susunatur dan antaramuka Blog
Selalu kita dengar, fisrt impression atau pandangan pertama itu akan memberikan satu persepsi terhadap sesuatu yang kita lihat. Hal ini, sama dengan blog kita. Tidak dapat dinafikan, rekabentuk atau interface blog kita memainkan peranan yang sangat-sangat penting agar ia kelihatan menarik, smart dan memberikan satu impak yang berbekas pada pandangan seseorang.
Begini, blog kita ini umpama rumah kita. Seumpama, pondok tempat kita berteduh dan berehat. Bayangkan kalau pondok kita yang kita diami itu kemas, cantik, selesa dan indah. Tentu, kita suka bertandang dan tinggal di situ walaupun kadar tempoh yang lama. Bak kata orang , “kalau hati sudah terpikat, tinggal selama-lamanya pun tidak mengapa.”
Saya selalu menjelajah dan melayari ke alam maya untuk melihat blog-blog yang ada. Di sana, terdapat berpuluhan ribu malah mungkin jutaan blog yang pelbagai. Dengan template serta warna dan corak yang pelbagai – dunia maya ini dihiasi dengan blog-blog yang berbeza dari segi rekabentuk, konsep, susunatur dan sebagainya.
Bagi saya, blog yang baik adalah blog yang sedap mata memandang. Simple, kemas, pemilihan warna yang baik, tulisan yang mudah dibaca, mesra pengguna dan wujudnya interaktif antara pemilik blog dan pembacanya.
Bagi saya, terdapat beberapa blog yang sangat saya suka dari aspek persembahan interfacenya. Contoh seperti INI , INI , INI dan INI. Macamana? Apa pandangan anda?- Apakah persamaan antara keempat-empat blog atau website yang saya nyatakan ini? Soal cepu emas hari ini.
(4) Penggunaan bahasa , intipati dan prinsip asas
Seterusnya, aspek yang penting ialah penggunaan bahasa yang menjadi medium perantaraan antara penulis blog dan pembaca blog. Bagi saya, tulisan yang dipamerkan harus tulisan yang menggunakan bahasa baku yang tinggi. Maknanya, betul dari segi penggunaan bahasanya dan tidak terlalu “pasar” corak penggunaanya.
Jika boleh, elakan penggunaan bahasa pendek atau ringkasan yang sukar difahami. Kekadang, bahasa-bahasa sebegini akan menjemukan dan membosankan sesiapa sahaja untuk membacanya. Latihlah diri untuk menggunakan perkataan yang penuh ejaannya dan bahasa yang betul. Saya yakin, kita akan berpuas hati dengan perkongsian dan tulisan yang kita gunakan dalam blog nanti.
Di samping itu, kita nukilkanlah ia dengan bahasa jiwa dan bahasa hati. Tulislah dari lubuk hati dengan kerelaan hati dan kongsikan ia dengan jujur dan ikhlas. Inilah kekuatan bahasa yang tiada tandingannya.
Bak kata orang, tulisan yang ditulis dari hati akan jatuh menyimbah ke hati jua. (‘’,)
Intipati dan pengisian blog harus menjadikan Al-Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama. Ini adalah soal prinsip, pegangan dan maruah kita sebagai seorang muslim mukmin. Tidak dapat tidak. Ajakan kepada kebaikan, kebenaran dan kesolehah harus mendominasi seluruh artikel-artikel, video-video, kata-kata hikmah dan apa jua yang kita letakkan di blog kita.
Sehinggakan apa yang kita sembangkan juga sekiranya boleh, kita tarbawikannya sehingga ia menjadi indah, membahagiakan dan molek pada pandangan sisi syara’. InsyaAllah, jika inilah yang kita lakukan – masyaAllah – rahmat Allah SWT ke atas kalian.
(5) Sentiasa konsisten dan istiqamah
Selalu juga, kita menyebut : “ Mudah sahaja untuk memulakan sesuatu, tetapi hendak kekalkan ia untuk satu tempoh yang lama adalah cabaran yang sangat besar dan tinggi.”
Begitu juga dalam soal memaintainkan blog ini. Mudah sahaja untuk membuat blog, tidak sampai sejam pun. Tut..tut sudah siap. Yang sukarnya ialah untuk mengekalkan kadar pengisian blog kita secara berkala.
“ Tiada masa”
“ Sibuk memanjang”
“ Banyak kerja”
Inilah jawapan kegemaran saya dan kita semua apabila berhadapan dengan sesuatu yang menuntut komitmen peribadi. Memang dah tersedia jawapan ini sejak dahulu lagi, namun adakah ini sahaja jawapan yang kita sediakan untuk melakukan sesuatu yang akan menjadi bekalan amalan soleh kita?
Jika matlamat, objektif dan tujuan kita jelas, maka tunggu apa lagi? Kitalah yang akan berusaha mencari masa dan waktu untuk memberikan usaha yang terbaik. Semuanya kembali kepada kita. Dalam soal ini, cadangan teman-teman saya kepada saya dalam soal mengemas kini blog ialah :
Pertama, Ikhlaskan hati untuk mengemaskini kerana Allah SWT
Kedua, rancang dan susunlah waktu pemberian Allah SWT. 24 jam itu hargailah dengan bersungguh-sungguh
Ketiga, Disiplin, disiplin dan disiplin. Saya banyak belajar tentang ini melalui penulisan di blog. Semoga Allah permudahkan urusan saya.
Teringat pesanan sahabat saya, Hilal Asyraf :
“Kita sebenarnya mempunyai masa. Tetapi kita hanya tidak menyusunnya. Kita sebenarnya mempunyai masa. Tetapi kita tidak merancangnya. Akhirnya kita menyatakan, "Tak ada masalah."
Katanya lagi yang membuatkan saya tersentak : “Pokok pangkalnya, hendak menjadi seseorang yang hebat, dalam apa bidang pun, perlu pada disiplin. Ini adalah disiplin untuk mereka yang hendak menjadi unggul dalam medan ini.”
Terima kasih dan syukran buat HA kerana banyak memberi dorongan, sokongan, motivasi, nasihat dan inspirasi dalam soal ini.
Penutup – Komentar seorang hamba
(1)- Saya belajar dan memahami tentang masa dan waktu daripada penulisan blog ini. Belajar berdisiplin dan menghargai setiap waktu yang dianugerahi oleh Allah SWT kepada saya.
(2)- Blog adalah medan berubudiyah kepada Allah SWT. Kelihatan ia masih lagi menjadi sesuatu yang asing dan aneh di dalam masyarakat. Jika matlamat dan objektifnya jelas dan nyata – saya sangat-sangat yakin dunia Blog akan menjadi medan menyolehkan manusia untuk kembali tunduk serta taat kepada Allah SWT.
(3)- Semoga, berkurangnya blog-blog yang banyak mencaci, menabur fitnah, melebarkan berita-berita berbau kerosakan dan meleburkan keimanan yang bertapak dihati manusia. Saya sedih melihat blog-blog yang dipenuhi dengan aksi-aksi dosa, maksiat dan noda. Tercalar dan terguris kejernihan hati yang suci si pemilik blog dan mereka-mereka yang singgah “terbaca’ intipati blognya.
(4)- Ya Ilahi, ampunilah kami akan kejahilan kami. Semoga kami terus berada dalam payungan rahmat-Mu di dunia alam maya yang tiada sempadan ini, dunia fana yang sementara ini dan alam akhirat nan kekal abadi.