Di satu malam selepas menunaikan solat Isya’, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat dan mereka yang hadir , “ Mahukah kalian kalau aku tunjukkan salah seorang calon ahli syurga yang ada di masjid ini?”
Para sahabat merasa teruja dan ingin tahu siapakah lelaki bertuah yang dimaksudkan oleh Nabi itu. Lantas Rasulullah menoleh pada seorang lelaki yang sedang khusyuk berselawat dan berzikir. Perawakan lelaki itu kemas, janggutnya tersisir rapi dan wajahnya kelihatan bersih.
“Inilah calon penghuni syurga,” kata baginda memperkenalkan lelaki tersebut . Salah seorang sahabat yang ada pada ketika itu ialah Anas bin Malik dan Abdulah bin Umar. Anas bin Maliklah yang menceritakan kisah ini.
Sudah tentu semua yang hadir ingin tahu apakah ibadat orang itu sehingga Nabi Muhammad mengatakan yang dia bakal masuk syurga. Pasti ada sesuatu yang istimewa padanya sehingga melayakkan dia menjadi calon syurga. Mereka ingin tahu dan ingin mencontohi lelaki itu.
Lelaki itu memang dikenali oleh semua orang. Sekali pandang, lelaki itu hanya seorang lelaki alim, sederhana dan amal ibadatnya sama sahaja dengan mereka.
Disebabkan rasa ingin tahu, ada di antara dua orang sahabat lelaki itu ingin mengetahui amal ibadat lelaki tersebut. Salah seorang dari mereka ialah Abdullah bin Umar. Lantas, Abdullah membuat keputusan untuk menyiasat sejauh mana ketaatan lelaki itu beribadah. Kalau tidak, masakan dia adalah calon ahli syurga?
Sebaik sahaja mereka keluar dari masjid pada malam itu, Abdullah menemui calon syurga itu dan berkata: “Saya ingin tinggal di rumah saudara selama tiga hari tiga malam. Sudikah saudara menjadikan saya tetamu saudara? “
Sebaik sahaja mereka keluar dari masjid pada malam itu, Abdullah menemui calon syurga itu dan berkata: “Saya ingin tinggal di rumah saudara selama tiga hari tiga malam. Sudikah saudara menjadikan saya tetamu saudara? “
Lelaki itu sangat gembira dan menyetujui hasrat Abdullah untuk menginap di rumahnya. Lalu dia meminta kepastian sekali lagi, “ Apakah benar hajat saudara itu, atau saudara hanya bergurau-gurau sahaja?”
Abdullah menjawab “Bukankan sudah kunyatakan tadi,Rasulullah telah mengakui saudara bakal calon syurga. Saya ingin mencontohi kebaikan saudara dan ingin juga masuk ke syurga.”
Lelaki itu berkata dengan merendah diri, “ Tidak ada lebihnya ibadat yang saya lakukan selain daripada yang saudara saksikan sahaja”.
Abdullah bin Umar berkeras juga dan berkata “ Benar kata saudara itu. Tetapi saya ingin sekali menjadi tetamu saudara untuk tiga hari hari ini. Harap saudara sudi mengabulkan hasrat saya ini.”
Lantas, lelaki itu menjawab dengan senang hati, “ Jika begitu keinginan saudara, marilah ke rumah saya.”
Abdullah bin Umar sangat gembira dan pada malam itu juga dia mengikut lelaki itu pulang ke rumahnya. Keinginan yang membuak-buak menarik minatnya untuk melihat cara lelaki itu beribadat.
Pada malam pertama Abdullah bin Umar meminta izin tidur lebih awal. Sebenarnya dia hanya berpura-pura mengantuk dan selebihnya dia ingin sekali mengintai apakah ibadat yang dilakukan lelaki itu. Siapa tahu, di belakang orang lain lelaki itu sebenarnya melakukan ibadah lain yang melayakkan dia ke syurga. Pada malam itu, Abdullah berpura-pura tidur, tetapi matanya menjeling ke arah lelaki yang juga baring di sebelahnya.
Pada tengah malam, lelaki itu terjaga dan mengucapkan kata-kata, “Ya Allah,” dan kemudian ia kembali tidur. Puas Abdullah menunggu tetapi lelaki itu tidak juga bangun untuk sembahyang tahajud atau sebagainya. Tidak ada apa-apa yang dilakukan lelaki itu sehinggalah mereka bangun untuk solat subuh pada keesokannya.
Pada malam kedua pun demikian juga. Lelaki itu tidur bersama-sama Abdullah, tetapi pada tengah malam ia terjaga dan dia mengucapkan “ Ya Allah”.
Sama juga pada malam ketiga dimana lelaki itu tidak melakukan apa-apa amalan lainnya, melainkan apa yang telah disaksikan oleh Abdullah Bin Umar itu.
Sesudah tiga hari Abdullah bin Umar menjadi tetamu lelaki itu, Abdullah masih tidak berpuas hati dan sebelum pulang, dia bertanya kepada lelaki itu.
“ Wahai saudaraku, saya ingin masuk syurga dan saya ingin sekali tahu apakah ibadat saudara. Tiga malam bersama saudara, aku tidak melihat apa-apa yang aneh di dalam amalan saudara. Beritahulah kepadaku apa istimewanya saudara ini sehingga layak bergelar calon syurga?”
Lelaki itu menjawab, “ Saya tidak melakukan apa-apa amalan lainnya kecuali apa yang telah saudara saksikan itu.”
Lalu, Abdullah bin Umar meminta izin untuk pulang ke rumahnya. Sebelum Abdullah meninggalkan rumah lelaki itu, lelaki itu menerangkan kepada Abdullah.
“Memang benar saya tidak melakukan apa-apa ibadat lain, kecuali apa yang telah saudara saksikan itu. Selain daripada itu, di dalam kehidupan saya sehari-hari saya tidak pernah sesekali mengumpat,saya tidak mencerca atau menghina orang lain. Tiga perkara dilarang ini amat saya hindari dan jauhi. Saya juga tidak pernah irihati terhadap sesiapa pun. Itu saja amalanku. Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dan akan mengurniakan ganjaran buat hamba yang dikehendaki-Nya."
Demikianlah kisah yang diceritakan oleh Anas bin Malik.
Sumber : Hadis Muslim.
Credit to : DunyaHalal.com