11 November 2010

Gunung Merapi Amaran Allah

Merapi Masih berbahaya. Walaupun Gunung Merapi telah meletus dengan dahsyat pada 5 November lalu lalu dan merupakan letusan terbesar dalam abad ini, gunung berapi itu diramalkan masih menyimpan tenaga yang besar.
Pengarah Jabatan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, R Sukhyar berkata, andaian itu dibuat berdasarkan letusan gunung berkenaan berlaku tanpa henti sejak 3 November lalu.

“Sejak 3 November lalu sampai sekarang Merapi telah meletus tanpa henti, itu bererti tenaga yang tersimpan masih besar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tenaga yang dilepaskan oleh Gunung Merapi sejak letusan dari 3 hingga 7 November lalu masih berterusan hingga sekarang bahkan lebih besar berbanding letusan pertama pada 26 Oktober.

“Kami tidak dapat menjangka bila tenaga itu akan habis, sehinggalah Gunung Merapi tidak lagi meletus,” katanya.

Namun, kata Sukhyar, zon keselamatan di lingkungan Gunung Merapi masih ditetapkan sekitar 20 kilometer dari puncak gunung.

Penetapan radius keselamatan itu, kata beliau, dibuat berdasarkan data-data sejarah letusan Gunung Merapi, khususnya jarak luncur awan panas.

“Berdasarkan fakta sejarah, jarak luncur awan panas Merapi tidak pernah lebih daripada 15 kilometer, iaitu hanya sekitar antara 12 hingga 13 kilometer, " katanya.

Kawah berdiameter 400 meter yang telah terbentuk di puncak gunung ini lebih terbuka ke selatan atau mengarah ke hulu Kali Gendol, sehingga awan panas yang diluncur Merapi akan mengarah ke sungai tersebut.
Sementara itu, awal pagi ini dilaporkan Merapi terus meletus dan membentuk awan panas setinggi kira-kira 5,000 meter.

Petugas pemantau gunung berkenaan melaporkan bunyi menggelegak dari perut Merapi masih kedengaran.
Setakat ini 135 orang telah terkorban sejak Merapi meletus pada 26 Oktober lalu dan jumlah itu akan terus meningkat kerana masih banyak mayat yang tidak dapat dibawa keluar kerana letusan berterusan.
Dilaporkan dua anggota sukarelawan masih hilang dalam letusan Jumaat lalu.

Jumlah penduduk yang dipindah ke pusat-pusat pemindahan kini mencecah hampir 300,000 orang.
Selepas letusan kuat Jumaat lalu ramai penduduk mulai meninggalkan kediaman mereka di sekitar Gunung Merapi dan televisyen tempatan turut menayangkan anggota komando dikerah ke kampung-kampung terbabit bagi memaksa penduduk yang masih berdegil supaya berpindah.

Merapi telah memuntahkan kira-kira 100 juta meter padu material. – Utusan

Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my



 









** marilah kita muhasabah kembali akan segala kejadian yang berlaku. Sebagai pedoman hidup kita dalam meniti perjalanan yang semakin singkat. Ingat!! hari demi hari usia kita semakin tua. Begitu jugalah usia bumi ini. Kalau zaman rasulullah dan para sahabat usia bumi digambarkan seperti nenek tua yang sudah bongkong. Bagaimanakah sekarang? Fikir-fikirkanlah

original post : http://www.utusan.com.my
photo collection from my sister