Assalamualaikum...
Semalam sewaktu ceramah bersama Imam Muda Azhar timbul satu persoalan, Benarkah wanita ini menjadi fitnah ? (Tajuk Ceramah : Fitnah Akhir Zaman dimana Khilafnya?)
Disini ingin saya kongsikan satu artikel yang dinukilkan oleh ustazah Fatimah Syarhah untuk kita fahami bersama. Moga menambah kefahaman kepada kita semua.
Semalam sewaktu ceramah bersama Imam Muda Azhar timbul satu persoalan, Benarkah wanita ini menjadi fitnah ? (Tajuk Ceramah : Fitnah Akhir Zaman dimana Khilafnya?)
Disini ingin saya kongsikan satu artikel yang dinukilkan oleh ustazah Fatimah Syarhah untuk kita fahami bersama. Moga menambah kefahaman kepada kita semua.
Adakah Wanita Itu Jahat?
Antara Hadis dan Tafsiran Hadis
“Fitnah wanita.”
Ramai yang mengingatkan kita tentangnya. Rasulullah SAW juga.
“ Aku tidak tinggalkan fitnah yang lebih buruk selepas kewafatanku berbanding fitnah perempuan terhadap lelaki”. (Riwayat Bukhari)
Tepat sekali peringatan ini kerana wanita sering kali menjadi ‘sesuatu’ yang paling disukai di dunia ini. Berhati-hatilah dengan ‘kesukaan’ itu. Ramai lelaki hebat tidak berdaya kerana wanita. Apatah lagi jika seseorang wanita itu sengaja ingin menggoda, memujuk rayu dan memperdaya sasarannya. Siaplah…
Peringatan ini bagus. Namun, tafsiran terhadap hadis di atas ini mestilah adil. Seadil Allah SWT dan Rasulullah SAW memuliakan martabat wanita. Jangan pula hadis ini dijadikan hujah untuk melemparkan segala kejahatan kepada wanita.
“Ni semua salah mak dia. Masa mengandung dulu…”
“Ni semua salah perempuan, sebab tu ramai lelaki jadi rosak…”
“Perempuan semuanya jahat…”
Masing-Masing Ada Keistimewaan dan Kekuarangan
Hakikatnya, potensi untuk melakukan kebaikan dan kejahatan ada pada kedua-dua makhluk Allah, lelaki dan wanita. Wanita ada kelemahan. Lelakipun ada kelemahan. Wanita ada kelebihan. Lelakipun ada kelebihan.
”Maka Tuhan mereka menerima permohonan mereka ( dengan berfirman ) sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal dikalangan mereka baik lelaki dan perempuan,kerana sebahagian kamu adalah keturunan sebahagian yang lain.” ( Aali-Imran : 195 ).
Luasnya Maksud Fitnah
Dr Yusuf al-Qaradhawi membela, “Berwaspada terhadap fitnah sesuatu tidak bererti ianya jahat seluruhnya tetapi ianya bererti sesuatu itu mempunyai pengaruh yang sangat kuat ke atas manusia yang dibimbangi akan memesongkannya dari mengingati Allah dan hari akhirat.”
Bukankah Allah SWT juga pernah memberi peringatan tentang fitnah harta dan anak-anak? Firman Allah Taala yang bermaksud ;
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta-harta kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu dari mengingati Allah,barangsiapa yang berbuat demikian merekalah orang-orang yang rugi.” ( Munafiqun : 9 )
Mengikut tafsiran ayat ini, adakah ia bermaksud harta dan anak-anak itu semuanya jahat? Tiada kebaikan langsung daripadanya? Adakah Islam mengajar kita memusuhi harta sebagaimana golongan sami yang langsung tidak mengumpul harta? Adakah Islam mahu kita mencontohi golongan paderi yang tidak dibolehkan berkahwin dan mempunyai anak?
Tidak!
Fitnah Harta dan Anak-anak
Hal ini seterang mentari dijelaskan dalam al-Quran. Allah menunjukkan sikap yang adil (meletakkan sesuatu kena pada tempatnya) dalam menyingkap maksud sebenar yang Dia mahu kita fahami.
Tengok!
Di tempat yang lain, Allah SWT menyebut harta itu sebagai “ kebaikan “. Allah juga menyebut anak pinak dan cucu-cucu sebagai nikmat yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hambaNya,
“ Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Dia mengurniakan anak lelaki kepada sesiapa yang Ia kehendaki.” ( Syura : 49)
Malah, pengurniaan anak cucu kepada hamba-Nya, Allah sandingkan sama seperti hambaNya dikurniakan rezeki yang baik-baik.
Firman Allah SWT : “Allah telah menjadikan dari diri-diri kamu isteri-isteri, dan Allah menjadikan dari isteri-isteri kamu anak cucu, dan Allah telah mengurniakan kepada kamu rezeki yang baik-baik.” ( Nahl : 72 )
Bermakna anak-anak dan harta, asal kedua-duanya adalah baik. Ia jadi fitnah apabila kita tidak menguruskan dan mendidiknya dengan baik.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan bagimu,di sisi Allah pahala yang besar.” ( Taghabun : 15 ),
Dr Yusuf al-Qaradhawi berpesan: “Memberi peringatan tentang ujian perempuan sama saja dengan peringatan tentang ujian harta dan anak pinak. Ia sama sekali tidak bermaksud bahawa semua nikmat ini jahat dan buruk tetapi sebenarnya Allah ingin memberi peringatan supaya jangan terlalu tertambat hati kepadanya sehingga sampai menjadi fitnah dan menjauhkan hati dari mengingati Allah.”
Berawaslah!
Terima-kasih buat Nabi yang memberi ingatan tentang fitnah wanita kepada kaum lelaki. Fitnahnya memang amat besar. Lantaran itulah lelaki mesti diberi peringatan terhadap bahaya ini, agar mereka tidak tersungkur dengannya.
Pesona luaran wanita memang memukau. Mampu menjadikan orang sasau. Ditambah lagi, sifat semulajadi manusia termasuklah lelaki suka bertindak secara gopoh gapah dalam menilai luaran.
Wanita yang kusayangi, pada zaman ini, kita mendapati ujian wanita sudah sampai ke tahap zaman-zaman terdahulu dan khayalan generasinya. Disanjung, dipuja dan didewa-dewa padahal golongan pemusnah menjadikan wanita sebagai satu elemen untuk memusnahkan kemurnian-kemurnian dan artifak warisan dengan nama perkembangan dan kemajuan. Berawaslah!
Kembalilah Wanita Pada Kemulianmu
Pesan Dr. Yusuf al-Qaradhawi, “Menjadi tanggungjawab wanita Islam berwaspada terhadap komplot ini. Wanita Islam hendaklah sentiasa mengawal diri agar tidak dijadikan sebagai alat pemusnah oleh kuasa-kuasa besar yang memusuhi Islam.”
Wanita Islam hendaklah kembali kepada zaman kegemilangan mereka yang mana mereka dianggap anak perempuan yang terdidik, isteri yang solehah, ibu yang mulia, insan terpilih yang berkhidmat untuk agama dan umat, Dengan demikian wanita mendapat dua kebaikan iaitu beruntung di dunia dan akhirat.
credit to : http://sebarkanbahagia.blogspot.com
credit to : http://sebarkanbahagia.blogspot.com