16 June 2011

Persediaan Menjelang Ramadan

 Oleh Khalil Zaini.
 
Ramai yang sedar akan keistimewaan bulan Ramadan. Malah ada yang menjadikan Ramadan sebagai madrasah mereka untuk mencuci hati yang telah diselimutkan noda. Amalan akan diperbanyak, aktiviti lagha akan dipersedikit semata-mata untuk mencapai misi mengeksploitasi bulan yang penuh berkat itu.

Kepada mereka yang abid; pasti sahaja kedatangan Ramadan tidak mendatangkan masalah. Malah target serta azam baharu menjelang Ramadan akan diperkemas sebaik mungkin.

Berlainan pula khabarnya dengan individu muslim lain yang sederhana amalan mereka (orang yang 'terlalu' sibuk dengan urusan dunia). Kumpulan manusia ini akan mengalami kejutan budaya yang tidak tertahankan. Mereka akan berusaha keras untuk mencapai target yang selama ini tidak pernah difikirkan pada bulan-bulan biasa. Misalnya; mengkhatamkan Al-Quran dalam masa sebulan.

Oleh itu, adalah lebih baik persediaan menjelang Ramadan dilakukan seawal mungkin. Kini, bulan Rejab membuka tirainya. Kurang lebih dua bulan sebelum Ramadan mendepakan tangannya. Jadi, syor-syor di bawah ini sedikit sebanyak mungkin dapat membantu teman-teman pembaca membuat persediaan yang mantap bagi mengelakkan diri daripada digeluti kejutan budaya nanti.

1. Biasakan membaca Al-Quran sehelai muka surat dalam masa satu hari. Bagi yang 'terlalu' sibuk (bukan ditujukan khas kepada CEO syarikat sahaja), memadailah membaca surah- surah lazim yang pernah anda hafaz. Jika malas juga, bacalah basmalah dan kemudian sebutlah "Yaaaasin...." pada setiap kali selesai solat atau di dalam kereta atau di mana- mana sahaja yang anda rasakan selamat.

2. Biasakan mengunci jam pada tengah malam bagi tujuan latihan Qiamullail. Tidak kiralah anda bangun untuk bersolat atau tidak ketika sesi latihan ini. Yang penting anda kunci jam loceng, dan terjaga seketika (baca: celik mata). Dalam tempoh latihan, jika tidak terasa sekali pun untuk bangkit, cepat-cepatlah bertaubat. Bagi CEO tadi, memadailah berwuduk.

3. Banyakkan diam, sedikitkan bergosip. Ini penting untuk melatih diri daripada mengurangkan pahala akibat mengumpat dan mencemuh orang lain ketika bulan Ramadan. Percayalah, latihan untuk mencapai tingkah laku ini paling sukar untuk dilakukan. Ya, barangkali mengambil masa lebih setahun. Apa-apa pun, usaha dahulu.

4. Melatih diri menyebut kalimah Allah - ketika barang terjatuh mahu pun diri sendiri terjatuh. Apa-apa sahaja situasi yang memungkinkan anda menyebut Allah, maka sebutlah. Ini adalah bentuk latihan ringin zikir. Pada Ramadan nanti, ratib (zikir) yang lebih berat lagi akan mudah dan lancar keluar dari gua mulut anda. Percayalah.

5. Sentiasa senyum. Senyuman ialah terapi emosi paling mujarab. Kita tidak akan meradang dalam keadaan tersenyum. Kita tidak akan mengamuk selepas kita tersenyum. Kita juga tidak akan mencarut sambil tersenyum. (Mulakan senyuman selepas membaca ini)

6. Hadkan masa bersama Facebook, Twitter dan sama jenis dengannya. Harus diingatkan, televisyen tidak termasuk dalam jenis-jenis tersebut. Malah, ketika Ramadan, televisyenlah bakal menjadi bahan tontonan paling berkesan. Dengan syarat, menonton rancangan berkaitan agama. Usah khuatir, RTM memang galak menyiarkannya pada Ramadan. Saluran televisyen swasta juga. (Nak dengar artis mengaji pun boleh)

7. Masukkan wang, paling kurang RM1 ke dalam tabung masjid ketika Solat Jumaat. Bagi wanita, boleh berikan wang kepada kerabat terdekat yang lelaki. Moga niat anda ikhlas.

Sebenarnya, banyak lagi persediaan lain yang boleh dijadikan latihan menjelang Ramadan. Entri ini dipos awal kerana latihan tempoh panjang bukan mudah untuk dijayakan. Ini pun boleh dikatakan cukup terlewat. Atas faktor peringatan, sengaja saya titipkan syor-syor di atas. Benarlah syor tersebut tidak diperakukan oleh mana-mana jabatan Islam di Malaysia. Tetapi, cukuplah sekadar tazkirah santai yang menyentapkan.

Akhir kata, latihan juga perlukan disiplin. Semoga berjaya. Allahumma Solli 'Ala Muhammad Wa'ala Ali Muhammad.


* Pasangan yang sedang bercinta perlu fikirkan apa yang sepatutnya dilakukan menjelang Ramadan nanti. Jangan buat-buat tak reti.